“Elak ditembak di kepala, peluru terkena tengkuk – Jantan Baba

Masa Membaca:2 Minit, 55 Saat

ALOR GAJAH 11  Okt. – “Masih segar di ingatan ketika saya ditembak komunis dengan jarak beberapa kaki saja, namun mujurlah saya sempat mengelak menyebabkan peluru terkena telinga kiri dan tengkuk saya,” kata Jantan Baba,93.

Bekas Pegawai Waran II Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), kelahiran Kampung Melaka Pindah itu berkata demikian menceritakan detik hampir meragut nyawanya ketika mengetuai operasi menentang komunis pada 8 April 1951 di Kongkoi, Kenaboi, Negeri Sembilan.

Menceritakan detik kejadian, Prebet Jantan berkata, waktu itu dia dipilih Mejar Ibrahim Alla Ditta menyertai kumpulan dari Platun No. 7 di Titi Kuala Kelawang yang dipimpin Leftenan Muda Philcox dan dibantu Sarjan Mohd Yasin Tamin.

“Operasi ketika itu menggunakan tiga kenderaan, dua land rover dan sebuah trak konvoi yang membawa 23 anggota diiringi sebuah kereta perisai dari Titi ke Kongkoi, Kenaboi.

TELINGA dan tengkuk kiri jantan terkena tembakan komunis.

“Saya berada di dalam trak yang diketuai Koperal Yunus sebagai kenderaan kedua, manakala Sarjan Mohd Yasin berada dalam land rover sebagai kenderaan ketiga.

“Setibanya di Pondok Polis Kenaboi, kami lihat penduduk Cina yang ditahan dalam keadaan gembira dan ia menimbulkan rasa curiga saya dan rakan-rakan,” katanya ketika ditemui MHI di kediaman anaknya di Taman Alor, baru-baru ini.

Konvoi Diserang Komunis

Tambahnya, sangkaan mereka tepat apabila tiba-tiba diserang hendap oleh pengganas komunis dengan bunyi tembakan dari arah hadapan dan belakang konvoi.

“Sebahagian rakan terjun ke bawah, kesemua mereka terkorban terkena tembakan dan serpihan bom komunis termasuklah Leftenan Muda Philcox yang pengsan terkena serpihan bom.

GAMBAR kenangan Jantan sewaktu berkhidmat bersama tentera British selama 21 tahun.

“Waktu itu, saya segera mengambil keputusan melepaskan asap dari kenderaan dan pergi berlindung di tebing walaupun ketika itu suasana masih ‘dihujani’ peluru.

Menurut Jantan, disebabkan Leftenan Muda PL Philcox dan Koperal Yunus Salim tidak dapat melaksanakan tugas, dia selaku prebet paling kanan terpaksa mengambil alih kempimpinan kumpulan.

“Dalam suasana getir itu, saya berpura-pura menjerit meminta tembakan dilepaskan dan menyerbu kedudukan komunis dari kiri dan kanan sedangkan ketika itu tiada seorang pun anggota.

“Tiga kali saya menjerit serang untuk menakutkan komunis dan helah itu berjaya apabila komunis lari meninggalkan kedudukan serang hendap,” katanya.

Tambahnya, bagaimanapun, selepas itu seorang komunis tiba-tiba berdiri di hadapannya dan mengugut untuk menembak namun dia tetap berdiri tegak sebelum kedua-dua mereka melepaskan tembakan.

“Mujurlah saya sempat bergerak sedikit menyebabkan pelurunya tersasar mengenai telinga dan belakang leher manakala peluru saya tepat mengenai dahinya.

ANTARA foto JANTAN bersama keluarganya.

“Saya berjaya menembak mati tujuh pengganas komunis dalam operasi ini yang turut mengakibatkan enam anggota terkorban, selain tujuh termasuk saya cedera dan dibawa ke Hospital Besar Seremban rawatan.

“Selepas keluar hospital, saya direhatkan di Kem Transit Kuala Lumpur, dan berjumpa Leftenan Muda Philcox yang menunggu jadual penerbangannya ke England.

“Masa sama dia beritahu dah buat laporan supaya saya mendapat ‘Military Medal’ (MM), iaitu Pingat Keberanian British oleh Ratu Elizabeth,” katanya.

Jantan berkhidmat dalam Rekrut Askar Melayu pada tahun 1948 dan bersara pada tahun 1969 ketika memegang jawatan Sarjan Mejar di Kem Batu Kentomen.

Terdahulu, Jantan dikurniakan Bintang Cemerlang Melaka (BCM) disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam pada Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Balai Istiadat Seri Negeri di sini pagi tadi.

Sementara itu, kerajaan negeri melalui Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) telah menjejaki bekas pejuang negara itu terhadap jasanya menjaga keselamatan negara bagi menerima pingat hari ini.

Views:

1275
Kongsi :
Previous post MU gagal calarkan maruah JDT
Next post Stor rahsia simpan sisa toksik di Tanjung Kling terbongkar
Ubah saiz-+=