Stor rahsia simpan sisa toksik di Tanjung Kling terbongkar

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PANTAI KUNDOR 11 Okt. – Sebuah tapak haram yang menjadi tempat pembuangan sisa toksik dan bahan terjadual berbahaya di Kampung Pengkalan Perigi Tanjung Kling terbongkar apabila berjaya dikesan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Melaka.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar berkata, bertindak hasil aduan orang ramai, JAS berjaya mengesan 900 tong dram, enam tangki ‘intermediate bulk containers’ (IBC), tujuh tong tercemar dan lima buah tangki simpanan minyak yang disyaki mengandungi enap cemar minyak.

“Bertindak hasil aduan orang ramai, JAS Negeri Melaka telah menjalankan
risikan dan intipan sejak 6 Oktober lalu termasuk pemantauan dengan menggunakan dron sebelum melaksanakan operasi bersepadu ke premis tersebut bersama pihak berkuasa pada 8 Oktober lepas,” katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.

Hasil penemuan itu, beliau berkata pihak JAS akan menjalankan ‘finger printing’ dan pengumpulan bahan bukti untuk menjejaki pihak yang bertanggungjawab bagi tujuan pendakwaan.

“Pasukan siasatan JAS Negeri Melaka telah menjalankan persampelan dari
bahan buangan tersebut yang akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dalam
masa terdekat bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan
buangan itu.

“Dalam masa sama, pemantauan dron dan udara dilakukan dari masa
ke semasa untuk memastikan keadaan selamat di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, premis tersebut telah diarahkan untuk menjalankan pembersihan dan pelupusan buangan yang disyaki buangan terjadual setelah siasatan selesai
dijalankan melalui Notis Arahan di bawah Seksyen 31(1)(g) & 37(1)(c) AKAS
1974.

“Kertas siasatan sedang disediakan bagi pelbagai kesalahan di bawah Seksyen
34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara mandatori dan denda sehingga RM500,000.00.

“Saya ingin memberi amaran keras kepada semua pihak terutamanya pengusaha industri supaya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sisa toksik dan berbahaya ini dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

“JAS tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan ingin ditegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan JAS akan terus diperhebatkan demi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan orang awam untuk menjadi mata dan telinga JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Views:

1746
Kongsi :
Previous post “Elak ditembak di kepala, peluru terkena tengkuk – Jantan Baba
Next post Sisa toksik: Jangan jadikan rakyat, alam sekitar sebagai mangsa
Ubah saiz-+=