Sisa toksik: Jangan jadikan rakyat, alam sekitar sebagai mangsa

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PANTAI KUNDOR 11 Okt. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan menzahirkan rasa terkilan dan kecewa mengenai pembongkaran tapak haram yang menyimpan sisa toksik dan bahan berbahaya di Kampung Pengkalan Perigi, di sini.

Menurutnya, kejadian tersebut tidak seharusnya berlaku kerana ia berisiko untuk menghasilkan letupan besar yang boleh mengancam nyawa penduduk, selain turut berupaya menjejaskan alam sekitar.

“Jika berlaku letupan atau pencemaran minyak, yang akan jadi mangsa ialah rakyat dan penduduk setempat yang tidak tahu menahu mengenai perkara ini.

“Sebagai wakil rakyat kawasan saya marah dengan apa yang berlaku dan perbuatan ini sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas lanjut, Nor Azman berkata, beratus-ratus tong yang mengandungi sisa toksik dan bahan terjadual berbahaya itu telah disimpan bertahun lamanya tanpa disedari penduduk sekali gus menunjukkan pihak terlibat hanya mengejar keuntungan tanpa mempedulikan kesan kepada alam sekitar.

Jelasnya lagi, pihaknya telah dihubungi pengurusan syarikat minyak tersebut dan memaklumkan mereka sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti individu yang menjadi dalang utama.

“Saya juga nak beri peringatan kepada syarikat minyak janganlah sewenang-wenang melantik kontraktor tidak bertanggungjawab sehinggakan alam sekitar dan rakyat menjadi mangsa,” katanya lagi.

Pada masa sama, Nor Azman turut merakamkan penghargaan di atas tindakan pantas yang dijalankan pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) JBPM dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri yang segera mengambil tindakan mengesan dan menyita kawasan terbabit sekali gus berjaya mencegah daripada berlakunya pencemaran.

Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan JAS Negeri Melaka berjaya membongkar sindiket penyimpanan sisa toksik dan bahan terjadual berbahaya di kawasan terbabit hasil aduan orang ramai.

Risikan dan serbuan di kawasan itu menemui sebanyak 900 tong dram, enam tangki intermediate bulk containers (IBC), tujuh tong tercemar dan lima buah tangki simpanan minyak yang disyaki mengandungi enapcemar minyak ditinggalkan di gudang berkenaan dalam satu tempoh masa yang lama.

Views:

1572
Kongsi :
Previous post Stor rahsia simpan sisa toksik di Tanjung Kling terbongkar
Next post 241 individu terima pingat, darjah kebesaran TYT Melaka hari ini
Ubah saiz-+=