241 individu terima pingat, darjah kebesaran TYT Melaka hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 11 Okt. – Seramai 241 penerima hadir bagi sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-71 Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam di Seri Negeri, hari ini.

Ia dimulakan dengan anugerah Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) kepada dua penerima membawa gelaran Datuk Seri dan isterinya Datin Seri yang diterima Jeneral Datuk Seri Affendi Buang dan Komisioner Polis Datuk Seri Mohamed Farid Abu Hassan.

Diikuti enam penerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) membawa gelaran Datuk Wira dan isterinya Datin Wira, seramai lapan penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM), seramai 41 penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk dan isterinya Datin.

PENASIHAT Agama kepada Ketua Menteri Datuk Kamarudin Sedik (kiri) antara penerima DMSM disampaikan Mohd Ali hari ini.

Seramai 13 penerima pula diberikan Darjah Seri Melaka (DSM) merupakan darjah kebesaran yang dikurniakan pada tahun 1971 kepada orang perseorangan yang memberi perkhidmatan dan bakti terpuji kepada Negeri Melaka.

Manakala, seramai 22 penerima dianugerahkan Bintang Cemerlang Melaka (BCM), anugerah ini mula dikurniakan pada tahun 1988 dan diberikan kepada orang perseorangan yang berbakti dan memberi perkhidmatan yang baik kepada Negeri Melaka.

SETIAUSAHA Akhbar kepada Ketua Menteri Nasharuddin Muhammad (kiri) merupakan salah seorang penerima darjah BCM disampaikan Mohd Ali.

Bagi Bintang Khidmat Terpuji (BKT) pula dikurniakan kepada 51 penerima, ia mula dikurniakan pada tahun 1962 kepada orang perseorangan yang mempunyai sikap taat setia dan tata kelakuan terpuji.

Diikuti Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) seramai 57 penerima, Pingat Bakti Masyarakat (PBM) seramai 36 penerima dan terakhir Pingat Khidmat Lama (PKL) seramai dua penerima.

Views:

3196
Kongsi :
Previous post Sisa toksik: Jangan jadikan rakyat, alam sekitar sebagai mangsa
Next post Penalti JDT ‘bunuh’ semangat Melaka United
Ubah saiz-+=