Elak ketirisan dana, jawatankuasa perlu diberi pendedahan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TELOK MAS 3 Julai- Bagi mengelak dari berlakunya penyelewengan atau ketirisan pengurusan dana masjid, pendedahan yang jelas perlu diperincikan kepada jawatankuasa.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Razim Mohd Noor berkata, kes penyelewengan adalah jenayah pecah amanah dan ia secara tidak langsung akan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat mahupun kariah.

Beliau berkata, SPRM menerima banyak rungutan daripada masyarakat termasuk rasa tidak puas hati serta kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya penyelewengan dan ketirisan dana masjid.

“Menerusi program PKMAR ini kita beri penerangan tentang kesalahan dan aspek pencegahan rasuah, seperti mana pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) serta perkemaskan SOP longgar.

“Apabila ini berlaku ada ruang dan peluang menyebabkan berlakunya salah guna kuasa dan akhirnya sebabkan ketirisan dana orang ramai,” katanya.

Beliau ditemui selepas PKMAR yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat dan Pengarah SPRM negeri Mohd Shahril Che Mat, di Surau Al-Mughni Kampung Tersusun, Bukit Larang, hari ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Razim Mohd Noor.

Menurutnya, sekiranya timbul rasa kurang senang mengenai cara dana diperoleh atau digunakan ia boleh menyebabkan berlakunya tanggapan negatif masyarakat.

“Ada proses untuk peroleh dana, mereka bukan tidak boleh dapat sebaiknya elakkan sebab ia akan timbul persepsi negatif.

“Kita bimbang bila masyarakat atau kariah jauhkan diri, akan parah lagi mereka pergi ke tempat lain untuk solat,” katanya.

Mengulas lanjut, Razim berkata, pihaknya akan memperluaskan penganjuran PKMAR ke seluruh negara dalam usaha meningkatkan lagi pemahanan dan kesedaran dalam pengurusan dana masjid.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1420
Kongsi :
Previous post Harga satu tan sawit mentah takkan kurang daripada RM4,500
Next post PBM-BN belum jadi parti gabungan
Ubah saiz-+=