Sorting by

×

Empat GRO, dua lelaki positif dadah ditahan

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

BANDAR MELAKA 17 Julai – Keseronokan 312 individu berhibur dalam keasyikan malam di empat pusat hiburan terbantut apabila diserbu dalam Op Bersepadu Khas Maksiat awal pagi tadi.

Dalam serbuan berasingan bermula jam 12 tengah malam itu dan berakhir kira-kira tiga jam kemudian itu, seramai 195 lelaki warga tempatan dan 117 wanita termasuk lima warga asing yang kesemuanya berusia antara 22 hingga 45 tahun diperiksa.

Ketika pemeriksaan di salah satu premis di Jalan Melaka Raya 8 yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka itu turut menemukan seorang daripada pengunjung lelaki yang menyerupai wanita berusia 31 tahun sanggup datang sejauh 200 kilometer dari Temerloh, Pahang untuk berhibur.

Dia mendakwa datang ke negeri ini untuk menghadiri temu duga sebagai pelayan di sebuah pusat hiburan di sini esok, bagaimanapun dia dibebaskan berikutan tidak melakukan sebarang kesalahan.

Pengunjung lelaki yang menyerupai wanita berusia 31 tahun antara yang diperiksa dalam Op Bersepadu Khas Maksiat, awal pagi tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, daripada jumlah keseluruhan individu diperiksa itu, pihaknya menahan empat wanita warga Vietnam berusia antara 31 hingga 38 tahun dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan.

“Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang bekerja sebagai premis hiburan dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1953/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit kerja yang sah turut ditahan.

“Empat wanita warga asing yang ditahan itu melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(B) Peraturan-pertauran Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan sosial tanpa permit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam serbuan itu polis turut menahan dua lelaki masing-masing berusia 25 dan 50 tahun dipercayai positif dadah jenis methamphetamine.

“Kedua-dua suspek itu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ketujuh-tujuh tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk siasatan lanjut,” katanya.

DUA lelaki ditahan dipercayai positif dadah jenis methampetamine

Dalam pada itu, Zainol berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, polis Melaka membuat 56 serbuan dan menahan 195 individu melibatkan 49 warga tempatan dan 146 warga asing.

Jelasnya, daripada jumlah itu 42 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah manakala 13 lagi masih dalam peringkat siasatan bagi tujuan pertuduhan.

“Dalam tempoh itu, sebanyak 45 pemeriksaan dilakukan terhadap pusat hiburan, 25 pemeriksaan ke atas rumah urut dan 25 pemeriksaan ke hotel bajet bagi mengesan sebarang aktiviti maksiat serta individu yang disenarai hitam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1410
Kongsi :
Previous post ‘Jangan cacatkan pemandangan Pantai Puteri’
Next post Tenis Billy Jean King Cup: Malaysia mahu cipta kejutan
Ubah saiz-+=