Empat lelaki tempatan ditipu untuk menipu

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 11 Mac – Polis Melaka menumpaskan sindiket penipuan yang menjual tiket wayang tidak wujud selepas menahan lima lelaki termasuk dalang utama seorang warga negara China, awal bulan ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, empat lelaki berusia 25 hingga 30 tahun itu ditahan hasil serbuan di sebuah banglo di negeri ini 1 Mac lalu.

Beliau berkata, terdahulu dalang sindiket iaitu warga negara China memperdaya empat lelaki tempatan berkenaan dengan menawarkan pekerjaan sebagai penjual tiket wayang.

“Tugas empat lelaki tempatan itu adalah meyakinkan mangsa untuk membeli tiket wayang tanpa disedari mereka sebenarnya sedang dipergunakan bagi aktiviti penipuan.

“Sindiket menggunakan aplikasi Telegram dan Wechat untuk mencari mangsa di negara China.

“Empat lelaki tempatan berkenaan dipercayai menerima upah antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi tugas dilaksanakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang, di sini hari ini.

Abdul Majid berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak bulan lalu, selain itu pihaknya sedang mengesan seorang lagi ahli sindiket yang masih bebas iaitu wanita warga negara China berusia 25 tahun.

Katanya, rampasan hasil serbuan iaitu telefon bimbit, komputer riba dan ‘mobile WiFi’ dihantar ke Bahagian Forensik Bukit Aman untuk dianalisa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, empat suspek warga tempatan dibebaskan dengan jaminan polis, manakala suspek warga China dirujuk ke Jabatan Imigresen,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1131
Kongsi :
Previous post Pemilik, pengunjung premis hiburan dikompaun RM70,000
Next post 113 menara telekomunikasi, 24 Pedi terjejas akibat banjir di Terengganu
Ubah saiz-+=