Empat pekerja kilang warga asing parah akibat pergaduhan

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

JOHOR BAHRU 1 April – Empat pekerja kilang warga asing cedera parah selepas terlibat dalam pergaduhan dengan sekumpulan lelaki yang juga pekerja kilang, di Kawasan Perindustrian Taman Teknologi Senai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata pada kejadian 8 malam itu, empat pekerja lelaki yang cedera itu terdiri daripada warga India dan Pakistan, berusia antara 20 hingga 30 tahun.

“Hasil maklumat yang diterima mendapati, pergaduhan tersebut melibatkan ramai pekerja warga asing dengan menggunakan senjata kayu dan besi dan telah menyebabkan empat mangsa mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk mendapatkan rawatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tok berkata susulan dari itu, 11 lelaki pekerja kilang warga Myanmar berusia 20 hingga 30 tahun di sekitar Senai pada 1 pagi tadi dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui punca pergaduhan serta mengesan pekerja-pekerja lain yang turut terlibat dalam pergaduhan ini,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah merusuh yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1254
Kongsi :
Previous post Individu terima dua dos vaksin mungkin dibenar rentas negeri, ke luar negara
Next post Tiada bakteria SE dikesan di ladang ayam penelur CEM 014 Linggi-JPV
Ubah saiz-+=