Empat PKRC baharu diwujudkan jika kes COVID-19 ‘melimpah’

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 12 Jan – Kerajaan negeri bersedia membuka empat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.

Empat lokasi iaitu Dewan Tun Ali, Bukit Katil; Dewan Bestari, Ayer Keroh; Dewan Citra Kasih, Bemban, Jasin dan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) akan dijadikan PKRC sekiranya Hospital Melaka dan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang Selangor, tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata tiga PKRC yang ada di negeri ini setakat ini hanya menempatkan tahanan yang dijangkiti iaitu Pusat Koreksional Jasin; Depoh Tahanaan Imigresen Machap Umboo dan Penjara Sungai Udang manakala pesakit dari Sekolah Henry Gurney dihantar ke Pusat Koreksional, Jasin.

Jelasnya, bagi pesakit COVID-19 yang terdiri daripada orang awam pula ditempatkan di Hospital Melaka dan asrama jururawat hospital berkenaan dengan jumlah keseluruhan pesakit yang dirawat seramai 232 orang.

Ujarnya, peningkatan jumlah pesakit yang dirawat setakat tengah hari ini merekodkan seramai 339 orang termasuk 37 jangkitan baharu setakat semalam manakala pesakit sembuh mencatatkan 17 pesakit.

“Kewujudan empat PKRC baharu itu adalah langkah terbaik untuk menjimatkan kos dan beban kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) susulan peningkatan jumlah jangkitan baharu melebihi kes sembuh.

“Kita tidak akan membuka empat pusat itu lebih awal kerana kita telah meminta kebenaran MAEPS di Serdang dan pusat itu masih mempunyai kekosongan untuk menempatkan pesakit.

“Diharapkan apabila PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan, ia dapat mengurangkan jumlah kes baharu namun kesiapsiagaan kita memang ada untuk menampung kes ‘melimpah’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Ion Forte Green City di Ayer Keroh Coutry Club, di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Rahmad berkata, kesemua PKRC yang diwujudkan itu dijangka boleh menampung kira-kira 3,000 pesakit.

“Jika mengikut kapasiti katil, Dewan Tun Ali boleh menampung 300 pesakit, Dewan Bestari (kira-kira 200 orang), Dewan Citra Kasih (150 orang) dan MITC (lebih 2,000 pesakit),” katanya.

Views:

300
Kongsi :
Previous post Darurat bukan untuk halang pilihan raya
Next post ‘Satu keluarga, dua ekor ayam’
Ubah saiz-+=