Darurat bukan untuk halang pilihan raya

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR: “Saya tidak berniat untuk tidak mengadakan pilihan raya.” tegas Perdana Menteri ketika memperjelaskan rasional pengisytiharkan darurat berkuatkuasa serta-merta di seluruh negara hingga 1 Ogos depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya menegaskan situasi semasa pandemik COVID-19 yang kritikal antara faktor utama menjadi pertimbangan kerajaan untuk pengisytiharan darurat

“Perkara utama yang menghalang saya daripada menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen untuk membolehkan Pilihan Raya Umum diadakan ialah pandemik COVID-19.

“Keputusan untuk tidak mengadakan pilihan raya semasa pandemik COVID-19 masih menular ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa atau hifz al-nafs.

“Dalam konteks ini, adalah menjadi kewajipan saya sebagai Ketua Kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara dan saudari sekalian daripada jangkitan COVID-19. Ini adalah kemaslahatan paling utama yang dituntut oleh agama Islam,” katanya dalam pengumuman khas darurat yang disiarkan menerusi stesen televisyen, hari ini.

Perdana Menteri turut mengakui mutakhir ini ada pihak mendesak supaya kerajaan membubarkan Parlimen dan memberi laluan kepada pilihan raya bebas dan adil.

Justeru beliau memberi komitmen tegas bahawa Pilihan Raya Umum akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa wabak COVID-19 pulih sepenuhnya dan pilihan raya adalah selamat untuk diadakan.

“Pada masa itu, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak untuk mentadbir negara ini dan menjaga kebajikan saudara dan saudari sekalian. Inilah komitmen dan akujanji saya yang akan saya tunaikan, insya-Allah,” katanya.

Muhyiddin berkata, dalam keadaan negara dan rakyat sedang menghadapi satu mudarat besar, adalah amat penting semua ahli politik mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat.

“Bila tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh bertanggungjawab,” katanya.

Views:

307
Kongsi :
Previous post Mohd Redzuan negatif COVID-19
Next post Empat PKRC baharu diwujudkan jika kes COVID-19 ‘melimpah’
Ubah saiz-+=