Empat rakan ke tali gantung

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 18 Sept. – Empat rakan termasuk dua beradik dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Melaka hari ini, selepas didapati bersalah membunuh kenalannya dalam kejadian tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh iaitu M.P Namasivayam, 30; P Narendranpathy, 33; P Sethupathi,32 dan Aiman Mazlan, 27, diakhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, dua lagi tertuduh A Satish, 26, dan G Vincent Lawrence, 28, dilepas dan dibebaskan.

Kesemua tertuduh didakwa mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap B.R Sivan yang ketika itu berusia 32 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Bertam Jaya pada jam kira- kira 10.45 malam, pada 4 Mei 2013.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Effizah Ernie Idris dalam hujahannya berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk kepentingan awam, keseriusan dan kekerapan kes bunuh serta mendatangkan kecederaan selain senjata yang digunakan dalam kes ini.

Menurutnya, kes ini juga memberi impak besar kepada ibu mangsa serta anak saudaranya kerana berlaku dihadapan mereka.

Terdahulu, seramai 36 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang tempoh perbicaraan.

Selain itu, tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja, Andrew Lourdes, Raftfizi Zainal Abidin dan Asmawi Ismail.

Views:

1032
Kongsi :
Previous post Piala Tun Abdul Razak: Hoki lelaki intai langkah kanan
Next post Hakisan Pantai Puteri bertambah teruk akibat air pasang besar
Ubah saiz-+=