Hakisan Pantai Puteri bertambah teruk akibat air pasang besar

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

PANTAI KUNDOR 20 Sept. – Hakisan di Pantai Puteri bertambah serius akibat fenomena air pasang besar mulai petang kelmarin.

Ia dibimbangi menyebabkan beberapa batang lagi pokok rhu tumbang tetapi secara keseluruhannya ia tidak menghalang pengunjung bersantai di pantai peranginan itu
bersama anggota keluarga pada cuti hujung minggu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan berkata, walaupun fenomena air pasang besar di perairan negeri ini tidak seteruk di pantai Morib, Selangor, namun ia tetap memburukkan hakisan.

“Saya ikuti laporan berita mengenai fenomena air pasang besar di Pantai Morib yang lebih teruk berbanding di pantai Melaka tetapi secara keseluruhannya, ia menyebabkan hakisan bertambah teruk.

FENOMENA air pasang besar di perairan negeri ini mungkin tidak seteruk pantai Morib, Selangor, namun ia tetap memburukkan hakisan.

“Air yang naik tinggi hingga agak jauh ke pantai menyebabkan lebih banyak akar pokok rhu timbul di permukaan pasir dan cengkaman pokok menjadi longgar,” katanya.

Katanya, angin kencang dari arah barat menyebabkan lubang yang terbentuk di pantai semakin melebar dan dibimbangi memusnahkan lebih banyak struktur di pantai,
terutama Menara Tinjau Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang hanya beberapa meter dari pantai.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar laporan kepada kerajaan negeri mengenai hakisan yang semakin mengancam industri pelancongan dan difahamkan, kerajaan negeri sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil langkah mengatasinya.

Bagaimanapun, kerja pembaikan pantai sama ada melalui pembinaan benteng pemecah ombak atau tembok penahan ombak memerlukan peruntukan besar dan memerlukan masa
untuk JPS mendapatkan peruntukan, katanya.

Pantai Puteri adalah pantai peranginan sepanjang kira-kira 10 kilometer dari Kampung Hailam hingga Kampung Tanah Merah yang dimajukan kerajaan negeri sejak 1990 dan berfungsi sebagai satu daripada pantai peranginan utama di negeri ini, selain pantai Tanjung Bidara, Pengkalan Balak dan Kuala Sungai Baru.

Pengunjung, Baharuddin Bachik, 44, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata, beliau terkejut apabila mendapati pantai berkenaan mengalami hakisan teruk berbanding keadaan ketika beliau mengunjungi pantai itu Ogos tahun lalu.

BAHARUDDIN memancing di Pantai Puteri yang mengalami hakisan teruk dan diburukkan lagi dengan fenomena air pasang besar.

“Tahun lalu keadaan pantai amat cantik dan landai tetapi sekarang pantai semakin hampir dengan jalan raya akibat pasir pantai dihakis dan saya harap keadaan ini diambil tindakan segera,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, hakisan itu hanya membabitkan kawasan sepanjang kira-kira 100 meter dan masih ada baki kawasan pantai yang luas untuk dimanfaatkan
pengunjung untuk bersantai.

Katanya, beliau tidak berputus asa untuk hadir di pantai itu pada masa akan datang kerana yakin kerajaan akan mengambil langkah segera mengatasinya.

Views:

381
Kongsi :
Previous post Empat rakan ke tali gantung
Next post PBT perlu wujud satu Komuniti Hab – Zuraida
Ubah saiz-+=