Empat sekeluarga maut bertembung pacuan empat roda
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Empat sekeluarga maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda yang hilang kawalan di Lebuhraya Sultan Iskandar berhampiran pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung di sini pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini memaklumkan mangsa dikenali sebagai P. Milan Damani, 32, isterinya C.Tinisha, 31 dan dua anak mereka Rihaan Ivaan Damani (4) dan Ishaan Ivaan Damani (3).
“Kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mangsa, yang menghala ke bangunan Parlimen, bertembung dengan sebuah pacuan empat roda yang hilang kawalan, sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Keempat-empat mangsa meninggal dunia akibat rempuhan itu manakala pemandu pacuan empat roda berkenaan cedera ringan,” menurut kenyataan itu.
Menurut JBPM Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.52 pagi sebelum dua jentera dan sebuah ambulans, berserta 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa dan Sri Hartamas, dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam MPV mengambil masa kira-kira sejam dan (mayat) kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.