Enam kampung selesai ditransformasi menjadi Kampung Digital

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

ASAHAN 11 Januari – Enam kampung tradisional di negeri ini sudah selesai 100 peratus ditransformasi menjadi Kampung Digital apabila proses cerapan siap dilakukan sepenuhnya dengan Kampung Jeram, Masjid Tanah menjadi lokasi pertama pelaksanaan itu.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, bagi peringkat pertama inisiatif itu membabitkan dua buah kampung di setiap daerah.

Jelas beliau inisiatif itu akan diperluas ke mukim lain dan sehingga 701 kampung di Negeri Melaka siap ditransformasi sepenuhnya.

“Untuk perkembangan terkini, sebanyak enam kampung sudah selesai dicerap dan ditransformasi menjadi Kampung Digital, sementara itu10 lagi dalam proses pelaksanaan kerja-kerja cerapan.

“Bagi 23 lagi kampung masih lagi dalam perancangan ia membabitkan 15 kampung di Mukim Nyalas, Jasin; tujuh kampung di Mukim Ayer Molek, Melaka Tengah serta satu kampung di Mukim Gadek, Alor Gajah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke beberapa projek ternakan dan tanaman bersama wakil Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, hari ini.

Fairul Nizam berkata, pihaknya juga masih menunggu keputusan pendaftaran alamat IP untuk Kampung Digital yang dikelolakan oleh Bahagian Teknologi Maklumat, Jabatan Ketua Menteri.

Inisiatif yang dicetuskan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam melahirkan ‘Digital Citizen’ seiring dengan peredaran zaman.

Pelaksaan inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan kemajuan sosial, ekonomi dan teknologi dalam kalangan penduduk kampung serta menjadikan pengurusan alamat rumah lebih sistematik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1447
Kongsi :
Previous post Merakyatkan kembali tradisi berpantun di Melaka
Next post Sasar 660,000 orang Melaka daftar PADU
Ubah saiz-+=