DUN Taboh Naning: Enam lagi Rumah Prihatin diluluskan

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

TABOH NANING 1 Oktober – Enam lagi Rumah Prihatin akan dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, dalam usaha Kerajaan Negeri menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada pemohon dalam kalangan B40 di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin berkata, semua enam unit kediaman itu akan dibina tahun ini selepas peruntukannya diluluskan.

“Saya difahamkan peruntukan itu baru sahaja diluluskan dan ini adalah berita gembira buat pemohon berkenaan. Semua ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat yang kurang berkemampuan.

“Sebagai Adun saya serius dalam usaha menyegerakan kelulusan permohonan kediaman baharu lebih selesa kepada golongan B40, kerana difahamkan ada yang sudah lama memohon namun belum mendapat kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan kunci kediaman baharu kepada lima penerima di Ayer Paabas, Taboh Naning dan Cherana Putih, di sini, 29 September lalu.

Katanya, selain Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkenaan, beliau juga mengusahakan untuk mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Rumah dibina dengan kos RM65,000 seunit ini dilengkapi kemudahan dua bilik tidur dan satu bilik air. Pada majlis penyerahan kunci, pemilik berkenaan kelihatan teruja dan ada yang sudah mula menghias kediaman masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2135
Kongsi :
Previous post Lebih 60,000 B40 terima subsidi kerusi keselamatan kanak-kanak
Next post Laman Variasi ‘lubuk’ seni keris Melayu
Ubah saiz-+=