Fahmi mahu DNB jelaskan, mengenai capaian liputan 5G

Masa Membaca:56 Saat

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini meminta Digital Nasional Berhad (DNB) menjelaskan bagaimana syarikat itu membuat kesimpulan bahawa pelaksanaan liputan rangkaian 5G di negara ini telah mencapai hampir 50 peratus.

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) belum menentusahkan maklumat berkenaan.

“Saya fikir DNB perlu menjelaskan bagaimana mereka memperoleh angka tersebut. MCMC belum lagi menentusahkan maklumat ini.

“Lain kali, saya rasa DNB perlu menentusahkan sebelum menerbitkannya,” katanya sebagai respons balas kepada ciapan yang mendakwa angka yang diterbitkan oleh DNB itu adalah palsu.

Pada Isnin, Ketua Pegawai Operasi DNB Nasution Mohamed dalam satu kenyataan berkata pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara telah mencapai hampir 50 peratus di kawasan berpenduduk pada akhir 2022, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 40 peratus.

Nasution berkata rangkaian itu kini telah mencapai 15 juta rakyat Malaysia melibatkan 3,900 tapak dan bakal menjangkau lebih 30 juta orang serta perniagaan apabila dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau juga berkata DNB kini memberi tumpuan penuh ke arah mencapai komitmen 80 peratus kawasan berpenduduk pada akhir tahun 2024 atau lebih awal.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1419
Kongsi :
Previous post PDRM kesan mesej tular aktiviti ‘push-pocket’, peras ugut di kawasan tumpuan
Next post ‘Jangan ada lagi warga Rohingya di Melaka’ – Adun Duyong
Ubah saiz-+=