‘Jangan ada lagi warga Rohingya di Melaka’ – Adun Duyong

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 4 Januari – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong berharap tindakan tegas dikenakan terhadap etnik Rohingya yang menetap di negeri ini berikutan kelakuan warga itu yang semakin melampaui batas.

Menurut Mohd Noor Helmy Abdul Halem biarpun sudah diberikan peluang menetap di negeri ini, namun tindakan warga itu yang berani mencabul seorang kanak-kanak perempuan berbangsa Cina pada 27 Disember lalu tidak boleh dimaafkan.

“Kejadian di kampung Rohingya di Semabok dan kanak-kanak itu dipercayai baharu berusia 12 tahun yang merupakan anak berbangsa Cina, maklumat lebih terperinci saya belum perolehi (daripada pihak polis) termasuklah waktu kejadian.

“Kalau boleh saya mahu warga Rohingya ini dipindahkan segera daripada kawasan sedia ada, tindakan mereka sudah melampaui batas dan mengganggu gugat kenteteraman penduduk sekitar.

“Sebagai Adun kawasan saya minta mereka ini supaya jangan ada di Melaka lagi, hantar lah keluar dari negeri ini, saya tidak mahu perkara sebegini berulang lagi,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Katanya beliau mendapat tahu perkhabaran itu menerusi laman sosial Facebook pada awal pagi tadi.

“Sebentar tadi saya ada terbaca di media sosial Facebook seorang kanak-kanak dicabul, jadi saya minta pihak polis untuk menyemak laporan lebih awal dan kita dapati memang ada kes pada 27 Disember lalu.

“Saya tak tahu nak buat macam mana lagi, kita sudah bawa perkara ini ke sidang dewan tetapi undang-undang tidak memihak kepada kita, sebab itu saya harap akan ada tindakan lebih tegas selepas ini,” katanya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak polis mengenai perkara itu sedang dilakukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8052
Kongsi :
Previous post Fahmi mahu DNB jelaskan, mengenai capaian liputan 5G
Next post Lihat semula keperluan pemakaian pelitup muka
Ubah saiz-+=