Lihat semula keperluan pemakaian pelitup muka

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

PENGKALAN BATU 4 Januari – Pemakaian pelitup muka dalam kalangan kanak-kanak taska dan tadika yang sebelum ini tidak diwajibkan akan dilihat kembali sebagai usaha mencegah peningkatan penularan COVID-19.

Pengerusi Persatuan Tadika Islam Cawangan Melaka (PERTIM), Suhaili Othman berkata, satu garis panduan baharu akan dikeluarkan persatuan kepada pengusaha-pengusaha yang berdaftar di bawahnya untuk dipraktikkan semula pemakaian pelitup muka ketika berada di taska mahupun tadika.

“Satu perjumpaan bersama pengusaha-pengusaha tadika dan taska akan diadakan untuk kita dapatkan kata sepakat sama ada mahu amalkan kembali prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini atau sebaliknya.

“Saya rasa kita perlu uar-uarkan semula kepada pengusaha tadika swasta khususnya untuk praktikkan balik apa yang kita pernah buat sebelum ini iaitu pemakaian pelitup muka sama ada untuk kanak-kanak yang sihat mahupun kurang sihat.

“Manakala untuk anak-anak yang ada bergejala kita minta untuk tidak ke sekolah pada waktu ini kerana risau sekarang dimaklumkan penularan COVID-19 bawaan dari negara China sudah dikesan di dalam negara,” katanya ketika ditemui di Tadika Sinarku Gemilang, di Taman Perkota, Peringgit.

Menurutnya, walaupun sebelum ini kerajaan sudah memberikan kelonggaran membabitkan garis panduan SOP namun masih ada tadika dan taska yang meruskan langkah pencegahan wabak itu.

“Saya percaya ada di antara tadika yang pengusahanya terus mengamalkan garis panduan yang begitu ketat sebagai langkah pencegahan malah ada juga yang sudah melonggarkannya selepas pengumuman dibuat oleh pihak kerajaan sebelum ini.

“Selain pemakaian pelitup muka, mungkin kita juga akan adakan semula pemeriksaan ujian pantas antigen (RTK) kendiri, untuk seminggu sekali tetapi ini semua selepas perbincangan diadakan nanti,” katanya.

Suhaili yang juga pengusaha Tadika Sinarku Gemilang berkata, walaupun di premisnya tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka tetapi menggalakkan ibu bapa agar anak mereka memakainya ketika hadir ke sekolah.

“Kita ambil pendekatan galakkan apabila kementerian tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka kerana kita juga faham ia melibatkan kos, begitu juga dengan ujian RTK kita hentikan dahulu tetapi selepas ini jika keadaan memerlukan di tadika dan taska kita kembali laksanakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1681
Kongsi :
Previous post ‘Jangan ada lagi warga Rohingya di Melaka’ – Adun Duyong
Next post Suri rumah mengaku tidak salah buka klinik gigi tidak berdaftar
Ubah saiz-+=