Sorting by

×

FAM akan majukan pasukan negara secara konsisten – Presiden

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak boleh menoleh ke belakang lagi susulan pencapaian bersejarah Malaysia berjaya menamatkan penantian 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia 2023.

Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin berkata beliau dan barisan kepimpinan tertinggi FAM sentiasa inginkan kejayaan dan akan konsisten dalam usaha memajukan pasukan kebangsaan ke tahap terbaik.

“Kita ingin naikkan prestasi dan ia tidak boleh naik mendadak, jadi dengan kekangan yang ada di depan, kita akan hadapinya satu demi satu. Terdapat kemungkinan kalau perancangan yang dibuat tidak betul segalanya akan jatuh balik.

“Maknanya selepas ini kalau pasukan negara bertemu pasukan tertentu mereka akan menang, tidak bergelut mencatat keputusan seri ataupun kalah. Ini yang kita (FAM) akan lakukan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan antara Malaysia dan Bangladesh di Stadium Nasional di Bukit Jalil, semalam.

Pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia mengesahkan kemaraan secara merit ke Piala Asia selepas menewaskan Bangladesh 4-1 di hadapan 52,964 penonton.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Kim Pan Gon mengumpul keseluruhan enam mata untuk menamatkan kempen kelayakan di kedudukan kedua di belakang Bahrain, sekali gus mengesahkan kemaraan ke Piala Asia selaku lima naib juara terbaik dari enam kumpulan.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.

Mengulas lanjut, Hamidin mahukan Pan Gon dan pasukannya menjadi lebih agresif dan pergi lebih jauh.

Sementara itu, beliau berkata persiapan menghadapi Piala Asia 2023 bermula dari sekarang supaya skuad kebangsaan tidak ‘dibuli’ dan mampu mencipta kejutan terhadap pasukan-pasukan gergasi Asia.

“Persiapan bermula sekarang yang turut melibatkan Piala AFF. Ini memerlukan kewangan dan perancangan dan saya yakin Pan Gon tahu apa dia perlu buat dan apa yang ingin dibincangkan bersama saya dan barisan jawatankuasa yang lain,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan kejurulatihan dan pemain skuad Harimau Malaya serta berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta semua pihak – media, peminat, kelab tempatan dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menyokong badan induk itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

851
Kongsi :
Previous post Kerajaan beri kebenaran khas eksport beberapa komoditi ayam
Next post 1MDB gagal bayar pinjaman, kerajaan tanggung hutang US$3 bilion – Saksi
Ubah saiz-+=