Sorting by

×

Fasiliti Taman Laut Melaka ditambah baik

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TELOK MAS 9 Januari – Jabatan Perikanan Negeri sedang menambah baik kemudahan asas di ketiga-tiga pulau Taman Laut Melaka bagi memberi keselesaan kepada pengujung.

Timbalan Pengarah Perikanan Melaka, Nawar Abd Karim berkata, kerja-kerja menambah baik fasiliti itu melibatkan Pulau Nangka, Pulau Undan dan Pulau Dodol yang menelan kos kira-kira RM1 juta.

“Ia termasuklah menyediakan tandas, bilik persalinan, surau dan pejabat pengoperasian di ketiga-tiga pulau berkenaan kerana setakat ini kemudahan disediakan masih kurang memuaskan.

“Insya-Allah pada bulan Mac ini fasiliti tersebut akan siap dan kita harap proses untuk menjadikan kemudahan di taman-taman laut ini dapat dilaksanakan.

“Kita akan menambah baik kemudahan dari semasa ke semasa, sebab itu setiap tahun kita mohon peruntukan dari Jabatan Perikanan Malaysia untuk penyelenggaraan termasuk menganjurkan program konservasi dan pemeliharaan sumber alam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Voluntourism: Melaka Nature Epic Challenge (MNEC24) Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Taman Laut Melaka, Pulau Undan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nawar berkata bagi pengunjung yang ingin mendapatkan pakej di ketiga-tiga pulau itu boleh melayari laman sesawang rasmi Taman Laut Melaka.

“Kita tawarkan beberapa pakej iaitu Pakej Island Hoping dengan sewaan bot RM590 untuk 12 penumpang (pergi dan balik di ketiga-tiga pulau), Pakej Snorkeling RM690 (12 penumpang pergi dan balik di tiga pulau) dan Pakej Selam Skuba RM370 untuk seorang (peralatan dan sewa bot disediakan).

“Kita juga ada dua operator dilantik untuk aktiviti selam skuba ini, pengunjung juga boleh pilih untuk naik bot sama ada di Jeti Umbai, Jeti Anjung Batu dan Jeti Marina, Banda Hilir,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3364
Kongsi :
Previous post 1,000 geng basikal promosi TMM2024
Next post Berpesta ikan dalam ribut di Tambak Klebang
Ubah saiz-+=