Fazil Group luaskan empayar buka kedai emas

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 3 Oktober – Kepada peminat barangan kemas, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan perhiasan dengan pelbagai rekaan menarik tanpa dikenakan upah, bersempena pembukaan rasmi Kedai Emas Fazil Group.

Pengasasnya, Datuk Seri Mohd Fazil Shafie berkata, tawaran selama tujuh hari itu akan berakhir pada 8 Oktober ini dan orang ramai khususnya peminat barang kemas dipelawa untuk mengunjungi premis berkenaan di Mydin MITC, Ayer Keroh, di sini.

Jelasnya tawaran menarik dikhaskan kepada semua pelanggan itu sah untuk semua jenis barangan kemas yang dibeli.

“Istimewanya juga di Kedai Emas Fazil Group ini kami menawarkan beberapa kaedah pembayaran yang memberikan keselesaan dan memudahkan pelanggan untuk berbelanja.

“Pelanggan bukan sahaja boleh membuat pembayaran secara tunai tetapi juga melalui beberapa alternatif lain antaranya potongan bank tanpa faedah atau potongan gaji.

“Sementara itu buat kakitangan awam mereka boleh memilih untuk membuat potongan melalui biro Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (ANGKASA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian pembukaan Kedai Emas Fazil Group yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama ke majlis itu adalah isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Menurut Mohd Fazil, premis berkenaan adalah kedai pertama yang diusahakan, namun yakin mampu bersaing dengan jenama barangan kemas lain yang berada di pasaran.

“Operasi Kedai Emas Fazil Group sudah bermula pada 26 Ogos lalu dan sepanjang tempoh bulan pertama pembukaan kita nilai jualan kami mencapai hampir RM200,000.

“Jadi kita jangkakan dalam tempoh enam bulan, jenama Kedai Emas Fazil Group akan mula dikenali ramai. Selepas tempoh itu kami sasarkan jualan bulanan akan meningkat sekitar RM300,000 hingga RM500,000.

“Malah dengan keahlian Fazil Group sendiri kini seramai 200,000 di seluruh negara, secara tidak langsung mereka juga akan turut membantu yang mana apabila datang bercuti ke Melaka mereka boleh singgah ‘melancong’ ke Kedai Emas Fazil Group ini,” katanya.

Menurutnya, selepas pembukaan sulung di Mydin MITC, Ayer Keroh, pihaknya juga merancang akan membuka cawangan kedua selepas ini.

“Buat waktu ini kita mahu lihat dan merancang terlebih dahulu pembukaan cawangan kedua, lokasinya sudah tentu di kawasan tumpuan ramai mungkin di Selangor,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6039
Kongsi :
Previous post Sungai Melaka bergema alunan selawat
Next post Melaka waspada penyakit ‘bawaan’ jerebu
Ubah saiz-+=