Melaka waspada penyakit ‘bawaan’ jerebu

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 3 Oktober – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Melaka akan memantau dari semasa ke semasa tiga penyakit sepanjang musim jerebu sejak akhir-akhir ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, tiga penyakit berkaitan jerebu itu ialah asma, jangkitan selaput mata konjunktivitis dan jangkitan akut salur penafasan atas.

Beliau berkata, setakat 30 September, tiada tren kenaikan ketara tiga penyakit itu di Negeri Melaka, namun begitu, pemantauan berterusan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa.

“Jabatan Kesihatan sentiasa peka dengan keadaan semasa cuaca dan sentiasa prihatin terhadap kes berkaitan penyakit akibat jerebu dan akan bertindak secara umumnya mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

“Bagi pengurusan kesihatan pula, pihak jabatan adalah mengikut garis panduan Pelan Tindakan Pengurusan Kesihatan Akibat Jerebu yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2020,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, Hee Sem turut menasihati rakyat Melaka agar sentiasa peka terhadap keadaan semasa khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik.

Katanya, mereka yang berisiko tinggi perlu mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelak daripada jangkitan salur pernafasan akibat jerebu.

Jelasnya, orang ramai dinasihat berada di rumah atau di dalam bangunan serta sentiasa memakai pelitup muka sekiranya berada di luar premis, sebagai antara langkah pencegahan.

“Orang ramai juga dinasihat mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya mempunyai gejala sesak nafas, mengalami jangkitan selaput mata (konjunktivitis) atau mendapat serangan asma.

“Maklumat berkaitan langkah-langkah pencegahan kesihatan akibat jerebu boleh didapati di laman sesawang https//:www.infosihat.gov.my dan www.moh.gov.my.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1834
Kongsi :
Previous post Fazil Group luaskan empayar buka kedai emas
Next post Sejajarkan plot kapal berlabuh bantu nelayan cari rezeki
Ubah saiz-+=