Sejajarkan plot kapal berlabuh bantu nelayan cari rezeki

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDA HILIR 3 Oktober – Plot kapal berlabuh di perairan Tanjung Kling, di sini, akan disejajarkan semula bagi membolehkan nelayan menangkap ikan tanpa sebarang kesukaran.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan itu akan diambil hasil perbincangan Kerajaan Negeri bersama beberapa agensi berkaitan antaranya Jabatan Perikanan, Jabatan Laut Malaysia, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Beruas.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya menerima aduan daripada nelayan sekitar kawasan itu yang sukar untuk menangkap ikan susulan kapal-kapal besar yang belabuh dalam keadaan berselerak.

“Tindakan itu menyukarkan nelayan jadi menerusi perbincangan dibuat kita sudah dapat satu persetujuan bahawa kita akan minta Pelabuhan Tanjung Beruas bersama Pelabuhan Klang dan agensi yang terbabit akan selarikan semula tempat plot kapal-kapal besar ini berlabuh.

“Kita sedia maklum kapal keluar masuk dan ini tidak boleh dihalang tetapi mereka ada 48 jam sebelum hendak masuk, jadi mereka boleh maklum (kepada operator di pelabuhan).

“Menerusi itu kita mungkin boleh mengehadkan satu kawasan satu kapal selain dari segi susunan mereka mesti dalam satu garis lurus jadi nelayan boleh turunkan pukat atau jaring tanpa sebarang kerisauan peralatan mereka rosak atau tersangkut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Pemantauan Kawasan Tangkapan Ikan Nelayan Perairan Daerah Melaka Tengah di Jeti Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Melaka, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, sebelum penjajaran itu dilakukan, agensi terlibat perlu menjalankan kajian terlebih dahulu ke atas beberapa faktor.

“Harapan saya dengan penjadualan dan ‘realign’ yang akan dibuat ini ia akan membantu nelayan selain Kerajaan Negeri juga akan memantau proses ini kerana tidak mahu ia hanya sekerat jalan sahaja.

“Pelaksanaan plot berlabuh secara sejajar ini mungkin dalam tempoh dua minggu atau sebulan tetapi ia bergantung kepada keputusan pihak pelabuhan kerana kita mahukan susunan kapal mestilah dalam keadaan yang baik,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

916
Kongsi :
Previous post Melaka waspada penyakit ‘bawaan’ jerebu
Next post LPN mampu perangi kartel beras
Ubah saiz-+=