LPN mampu perangi kartel beras

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BANDA HILIR 3 Oktober – Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) perlu diwujudkan kembali bagi mengekang aktiviti kartel beras yang didakwa menjadi punca kepada kekurangan beras tempatan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya melihat kewujudan semula LPN yang sebelum ini dibubarkan dapat bertindak sekali gus membantu menyelesaikan isu beras yang berlaku pada waktu ini.

“Antara cadangan saya adalah mewujudkan semula LPN supaya kita lebih fokus selain dapat melakukan pengawasan dengan baik dan teliti.

“Kita kena wujud semula LPN juga kerana hari ini (isu beras) dilihat seakan tidak dapat dikawal, malah ia perlu dimiliki oleh kerajaan sebab ini adalah barangan asas dan ia untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media pada Program Pemantauan Kawasan Tangkapan Ikan Nelayan di Perairan Daerah Melaka Tengah di Jeti Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Melaka, Banda Hilir.

photo_2023-10-03_11-10-28
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh mengadakan sidang akhbar pada Program Pemantauan Kawasan Tangkapan Ikan Nelayan di Perairan Melaka Tengah di Jeti Unit Perlindungan Sumber, Pejabat Perikanan Negeri Melaka, Taman Melaka Raya, Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

Dr. Muhamad Akmal berkata, penguatkuasaan membabitkan isu beras juga perlu diperhebatkan bagi menyokong empat langkah intervensi tambahan sekiranya tidak mahu ianya sekadar sia-sia.

“Berhubung empat langkah itu saya rasa perlu diteliti dan yang paling penting adalah dari segi penguatkuasaan kena tegas kerana kita tidak mahu orang ambil ringan perkara ini.

“Sebab apa jika kita ada banyak kelonggaran banyak berlakunya kartel-kartel beras ini jadi saya percaya kita perlu pelaksanaan penguatkuasaan yang tegas, berat dan teliti, sekurang-kurangnya dapat bawa hak kita,” katanya.

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang media khas mengumumkan empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara.

Antaranya termasuk mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk di kedai-kedai runcit.

Mengulas lanjut beliau berkata, meskipun di Melaka beras tempatan tidak mencukupi tetapi ia masih berada dalam keadaan terkawal selaras dengan tindakan penguatkuasaan yang dibuat.

“Alhamdulillah di Melaka kita buat perkara itu dan nampak boleh ‘on track’ dengan baik walaupun beras tidak cukup tetapi kita tahu berapa beras yang masuk dan berapa yang keluar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1018
Kongsi :
Previous post Sejajarkan plot kapal berlabuh bantu nelayan cari rezeki
Next post KKR terima lebih 10 kali ganda aduan kerosakan jalan menerusi MYJalan – Nanta
Ubah saiz-+=