Festival tarian medan cungkil bakat murid dan pelajar

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 5 September – Festival Tari Malaysia peringkat zon selatan dan Tari Kanak-Kanak peringkat Negeri Melaka merupakan medan untuk mencungkil bakat dalam kalangan murid dan pelajar.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) komited dalam usaha mencungkil lebih banyak bakat baharu dalam bidang seni.

Katanya, pihaknya sentiasa ingin memastikan potensi dan bakat yang ada termasuk dalam bidang tarian dapat dioptimumkan.

“Kita (JPN) sentiasa komited untuk mengasah dan mencungkil bakat-bakat pelajar, tidak dinafikan ramai yang mempunyai potensi yang besar.

“Lebih banyak kerjasama akan diadakan dengan pelbagai pihak untuk memastikan kita dapat membawa keluar bakat baharu dalam pelbagai bidang di peringkat sekolah untuk memberi keyakinan kepada anak-anak kita khususnya bahawa mereka mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Festival Tari Malaysia Zon Selatan dan Tari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, di sini, semalam yang turut dihadiri Pengarah JKKN, Azlina Elias.

Festival disertai 11 buah sekolah dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka muncul juara.

Manakala bagi Festival Tarian Zon Selatan, sebanyak empat kelab tarian mewakili Institut Pengajian Tinggi (IPT) mengambil bahagian dengan Kelab Tarian Aadyamaatra Artisukma Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul Johan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1305
Kongsi :
Previous post Festival Tari Malaysia Zon Selatan milik Aadyamaatra Artisukma UKM
Next post Lima sukan berfokus 2023
Ubah saiz-+=