Fiesta Bendang promosi sukan kampung
DURIAN TUNGGAL 8 September – Fiesta Sukan Bendang Durian Tunggal Ahad ini bakal menggamit kembali memori kemeriahan masyarakat Melayu tinggal di kampung ‘berkubang’ untuk merapatkan silaturahim selain bersuka ria.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil berkata, program sehari itu dijangka mampu menarik sehingga 500 penyertaan dalam kalangan penduduk pelbagai lapisan usia dan latar belakang.
Katanya, pogram berkenaan akan dilangsungkan di kawasan sawah di Kampung Beringin, bermula jam 8 pagi dan padat dengan pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun.
“Selain bergembira mengimbau semula nostalgia lama, program ini adalah medan terbaik untuk kita beri pendedahan kepada generasi muda mengenai cara hidup orang kampung dulu-dulu.
“Kita mahu anak muda rasai sendiri pengalaman berkubang dalam sawah yang tidak ada ditempat lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, penganjuran kali kedua itu juga diharap dapat mempromosikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal yang kaya dengan pelbagai produk pelancongan luar bandar.
Zahari berkata, selain didedahkan mengenai budaya orang kampung, anak muda atau pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat berhubung cara mengusahakan bendang mengikut keadah petani zaman dahulu.
“Saya percaya anak-anak sekarang tidak mahu masuk ke bendang dan mereka tidak tahu bagaimana seorang pesawah atau petani itu mendapatkan hasil, jadi menerusi fiesta ini mereka dapat pelajari perkara yang baharu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.