FRIM tawar khidmat perundingan, latihan dalam tisu kultur

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR 9 Sept – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menawarkan khidmat perundingan dan latihan berkaitan kemahiran asas mengenai tisu kultur bagi memberi pendedahan kepada orang ramai terutamanya usahawan dalam bidang tersebut.

Ketua Program Bioteknologi, Bahagian Bioteknologi Perhutanan FRIM Dr Nor Hasnida Hassan berkata, kaedah tisu kultur itu semakin dikenali untuk penghasilan bahan tanaman seragam, berkualiti tinggi dan bebas penyakit serta untuk menghasilkan anak pokok dalam jumlah yang banyak.

Beliau berkata tisu kultur merupakan satu kaedah aseptik pembiakan tanaman dengan menggunakan bahagian vegetatif tumbuhan di bawah keadaan terkawal.

Dr Nor Hasnida Hassan

 

“Teknologi tisu kultur sebagai satu cara menghasilkan anak pokok yang lengkap di dalam makmal bermula dengan sebahagian kecil tisu tumbuhan seperti daun, batang, pucuk atau sel dikulturkan dalam media nutrien di bawah keadaan yang steril dan terkawal untuk tumbesaran anak pokok.

“Teknik penghasilan anak pokok daripada tisu tumbuhan menggunakan medium nutrien ini mampu menghasilkan anak pokok yang serupa dengan pokok asalnya atau pokok induk dalam masa singkat, malah kualitinya turut terjamin,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan FRIM.

FRIM merupakan agensi kerajaan yang giat menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan teknologi tisu kultur, selain mempunyai komitmen dalam pemuliharaan, latihan, inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan bahan tanaman.

FRIM juga membangunkan makmal pertama untuk tisu kultur pada Disember 1984 sebelum operasi makmal itu dikembangkan kepada pengeluaran komersial spesies hutan dengan pembentukan Unit Kultur Tisu pada awal 1990-an.

Pada peringkat awal penubuhan makmal tisu kultur itu disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan benih pokok hutan yang serupa dengan induk untuk program penghutanan semula dan tisu kultur dilihat sebagai satu teknik terbaik bagi menyelesaikan masalah berkenaan ketika itu.

Dalam pada itu, FRIM turut menawarkan bengkel pengkulturan tisu tumbuhan untuk memperkenalkan pengetahuan am tentang tisu kultur bagi tumbuhan, menjelaskan teknik pensterilan dan penyediaan media tisu kultur serta latihan komprehensif di makmal bagi tumbuhan sehingga kepada pengikliman anak pokok di nurseri.

Program tersebut adalah platform terbaik dalam memberi pendedahan berkaitan tisu kultur dari segi teknik, aplikasi komersial dan potensi perniagaan yang boleh diwujudkan.

Sementara itu, Nor Hasnida berkata penggunaan teknologi tisu kultur adalah antara teknik terbaik berbanding teknik pembiakan lain bagi mendapatkan anak pokok yang serupa dengan induk.

Beliau berkata penghasilan anak pokok menggunakan teknik tisu kultur bukan sahaja terpakai untuk tanaman pertanian, malah ia juga digunakan untuk membiak tumbuhan hiasan dan pemuliharaan pokok hutan terutama spesies yang berdepan kepupusan.

Beliau bagaimanapun berkata teknik tisu kultur memerlukan makmal sebagai lokasi asas untuk membuat proses kultur tisu yang dilengkapi dengan peralatan khas.

“Kami juga menyediakan latihan bagi tisu kultur mengikut jenis tanaman berbeza, selain latihan sebagai input awal bagi mereka yang berminat melaksanakan projek pertanian moden atau nurseri tisu kultur. Bengkel tisu kultur ini dijalankan di Pusat Biousahawan Bioteknologi.

“Selain itu, pusat ini juga mempunyai makmal tisu kultur lengkap yang sedia untuk disewa oleh usahawan bioteknologi berminat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

707
Kongsi :
Previous post Waspada broker haram bertopengkan teknologi, inovasi
Next post Separuh populasi keseluruhan rakyat Malaysia lengkap divaksin- JKAV
Ubah saiz-+=