Gadek: Permata tersembunyi luar bandar

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KOTA LAKSAMANA 22 Ogos – Gadek, sebuah kawasan di bawah Parlimen Alor Gajah disifatkan sebagai ‘hidden treasure’ Negeri Melaka dan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri Datuk Seri Utama Idris Haron berkata, pihaknya telah berbincang dengan kerajaan negeri untuk melakukan sesuatu di kawasan luar bandar tersebut dalam usaha menjadikannya sebagai satu lagi tarikan di bumi bersejarah.

Katanya, antara perancangan yang telah diatur ialah membangunkan projek air panas Gadek yang dilengkapi dengan chalet bertaraf eksklusif untuk menarik kehadiran pelancong.

“Kawasan air panas Gadek adalah sebuah kawasan air panas semula jadi yang perlu kita garapkan. Jadi, kita ada perancangan untuk membangunkan fasiliti lengkap bagi projek air panas.

“Kita ambil contoh di Jepun, yang mana kawasan penginapan yang akan kita bangunkan itu nanti akan ada aliran air panas. Maknanya, apabila buka sahaja pintu chalet, anda akan nampak air panas dan boleh rendam kaki.

“Jadi saya percaya Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) selaku pemilik projek telah bersetuju untuk meneruskan projek ini dan ia akan dilakukan secara Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) yang mana mereka yang berjaya akan jadi operator dan mengurus produk pelancongan ini ikut cara mereka,” katanya dalam satu wawancara khas Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata, selain air panas, ada pelbagai lagi tarikan lain yang ada di Gadek menjadikan kawasan ini benar-benar memiliki potensi untuk dibangunkan di masa akan datang.

Jelasnya, selain memiliki beberapa tempat peranginan terkenal seperti di A’Famosa Resort, kawasan ini turut menjadi pilihan untuk dibangunkan sektor industri seperti Honda dan DRB Hicom.

“Selain itu, kawasan ini juga tersimpan khazanah ‘intangible heritage’ Melaka iaitu kuih bakau. Perusahaan kuih bakau yang dijadikan kuih rasmi Negeri Melaka juga terdapat di Gadek.

“Pada masa sama, ada juga perancangan untuk membangunkan beberapa taman hiburan seperti yang dirancang suatu ketika dahulu. Saya yakin ia masih dalam perancangan dan akan terlaksana tidak lama lagi,” katanya.

Views:

533
Kongsi :
Previous post Seorang pekerja JKR maut, tiga lagi cedera
Next post 31 individu terima watikah dan pemakaian pangkat APM
Ubah saiz-+=