Sorting by

×

Seorang pekerja JKR maut, tiga lagi cedera

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KESIDANG 22 Ogos – Seorang pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) maut manakala tiga lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika melakukan kerja mengecat garisan jalan di Jalan Lorong Pandan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkera di sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan pada jam 10 pagi itu, Tambi Chik Selim, 57 maut di lokasi kejadian manakala dua lelaki yang juga rakan sekerja mangsa masing-masing berusia 39 dan 56 tahun parah.

Seorang lagi pekerja yang belum dikenal pasti cedera ringan, manakala seorang wanita yang memandu kereta jenis Perodua Viva berusia 67 tahun tidak cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka Superintendan Hasan Basri Yahya berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu wanita warga emas dalam perjalanan dari Lorong Pandan menghala ke Limbongan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kereta dipandu suspek gagal dikawal sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh tiga motosikal pekerja JKR yang diparkir di bahu kiri jalan.

“Pada masa sama, empat pekerja JKR yang sedang berehat selepas menjalankan kerja mengecat dan menyusun kon di lokasi kejadian turut dirempuh kereta terbabit.

“Akibat kemalangan itu, seorang daripada mangsa maut lokasi kejadian, manakala tiga lagi cedera termasuk dua parah,” katanya ketika dihubungi.

Hasan Basri berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala tiga yang cedera dihantar hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Pemandu kereta ditahan untuk siasatan lanjut dan sampel darah turut diambil bagi pemeriksaan kandungan alkohol serta dadah.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Views:

567
Kongsi :
Previous post Kertas kerja UniMel dibentang hujung Ogos ini
Next post Gadek: Permata tersembunyi luar bandar
Ubah saiz-+=