Gadis 16 tahun dan kekasih 46 tahun dipercayai tokan dadah diberkas polis

AYER KEROH 16 April – Gadis berusia 16 tahun dan kekasihnya berumur 46 tahun  dipercayai pengedar dadah diberkas polis dalam satu serbuan di kawasan belukar di Sungai Udang pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid, berkata, serbuan jam 6 pagi tadi dilakukan hasil maklumat awam oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

“Ketika serbuan, pasangan kekasih itu sedang menunggu ‘pelanggan’ di kawasan belukar berkenaan dan dipercayai lelaki berkenaan aktif membekalkan dadah di kawasan sekitar sejak sebulan lalu.

“Hasil tangkapan, polis menemukan satu bekas bertutup kelabu mengandungi lapan paket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 127.32 gram dan 17 paket plastik lutsinar disyaki syabu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya siasatan awal mendapati, remaja perempuan berkenaan dan kekasihnya yang juga seorang duda anak dua mula menjadikan kawasan belukar berkenaan sebagai ‘port’ menjual dadah kepada ‘pelanggan’ mereka sejak sebulan lalu.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

“Semakan turut mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod 11 rekod lampau atas kesalahan dadah ,” katanya sambil menambah kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah, dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

579
Previous post Persembahan Zamani Slam di Hotel LaCrista Melaka 1 Mei ini
Next post Pelakon Abu Bakar Omar meninggal dunia