Gaji rendah punca penjawat awam gagal miliki kediaman sendiri

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDA HILIR 25 September – Isu penggajian penjawat awam yang jauh lebih rendah menjadi punca golongan itu gagal memiliki rumah sendiri di negara ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, unjuran gaji rendah yang dikenakan penjawat awam berbanding perkhidmatan swasta mengakibatkan kira-kira 40 peratus atau 640,000 daripada 1.62 juta penjawat awam di negara ini masih belum mempunyai kediaman sendiri.

“Kita harap kerajaan perlu memasukkan cadangan Cuepacs yang menetapkan gaji minimum RM1,800 sebulan dalam pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.

“Penjawat awam yang tidak mampu beli rumah ini memang kritikal yang mana di bandar-bandar besar mereka hanya mampu menyewa bilik sahaja disebabkan harga rumah yang terlalu tinggi.

“Hal ini kerana gaji minumum penjawat awam ketika ini sebanyak RM1,208 bagi lantikan pertama dan ia akan menjadi lebih kurang RM1,900 jika ditambah dengan imbuhan yang mereka terima setiap bulan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan perwakilan Tritahunan Cuepacs Negeri Melaka Sesi 2022-2025 yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Zaidi Johari di Dewan Hang Tuah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi semakan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) merekodkan lebih 800,000 peminjam setakat ini telah melaksanakan pembiayaan bersama agensi itu manakala sebahagiannya telah mendapat pembiayaan pinjaman dalam sektor konvensional.

“Gaji rendah ini meletakkan ia jauh ke bawah daripada pendapatan garis kemiskinan dan sasaran kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang menyasarkan negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dengan pendapatan isi rumah RM10,000.

“Perkara ini perlu perhatian serius dari kerajaansupaya gaji minimum ini ditingkatkan kerana pada ketika ini harga barang diluar sana jauh mendahului gaji kami.

“Kalau kerajaan sendiri gaji minimum RM1,200 bagaimana pihak swasta di luar sana nak ikut saranan kerajaan beri gaji minimum RM1,500 sebab kerajaan sendiri selaku majikan terbesar pun tidak laksanakan gaji minimum,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2103
Kongsi :
Previous post MUSA janji Melaka kekal beraksi di Liga Super
Next post Melaka cari formula baharu untuk pembangunan sukan
Ubah saiz-+=