GALAK LEBIH RAMAI PEMAJU BINA CLQ

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 11 Oktober – Lebih ramai pemaju digalakkan tampil untuk membina kuarters pekerja berpusat (CLQ) di negeri ini bagi menempatkan pekerja warga asing.

Pengarah Urusan PDG Property, Datuk Seri Gwee Yew Kiat berkata, meskipun ada kilang yang menyediakan penempatan mereka sendiri namun keperluan membina CLQ pada waktu ini tetap diperlukan.

“Di pihak pemaju kita bersedia memenuhi hasrat kerajaan yang mahukan pekerja warga asing khususnya sektor perkilangan ditempatkan di CLQ.

“Untuk itu kita galakkan lebih ramai pemaju membina CLQ selain memfokuskan hartanah seperti kawasan perumahan,” katanya.

Yew Kiat berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke CLQ i-Asrama Harmoni yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Melaka, Datuk Ngoh Chun How, di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Menurut Yew Kiat, dalam menggalakkan lebih ramai pemaju membangunkan CLQ, pihaknya memohon agar kerajaan dapat menetapkan syarat yang lebih jelas.

“Seperti yang sedia maklum menjelang 2025 semua pekerja warga asing tidak lagi dibenarkan tinggal atau menyewa di premis kediaman atau bangunan rumah kedai.

“Justeru itu bagi mengajak lebih ramai pemaju melabur untuk membina CLQ kita amat berharap Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan menetapkan satu syarat khususnya untuk pemaju sebagai garis panduan,” katanya .

Jelasnya, selepas berjaya membina bangunan asrama berkonsepkan pangsapuri dan mendapat kelulusan Certificate of Completion and Compliance (CCC) bagi i-Asrama @ Ayer Keroh, PDG dalam perancangan membina CLQ kedua di Kelemak, Alor Gajah yang dijangka siap pada Oktober tahun depan.

Sementara itu, Chun How berkata, pihaknya percaya dengan adanya satu syarat khas dikeluarkan kerajaan akan lebih ramai pemaju akan membina CLQ sekaligus tidak akan berlaku isu kekurangan penempatan itu pada masa akan datang.

“REHDA sentiasa menyambut baik hasrat kerajaan dalam menyediakan penempatan atau kediaman untuk masyarakat termasuklah pembinaan CLQ.

“Dengan siapnya i-Asrama @ Ayer Keroh ia dapat dijadikan contoh kepada pemaju lain untuk menyediakan CLQ yang merupakan kaedah penyelesaian jangka panjang dalam menyediakan penginapan kondusif kepada pekerja warga asing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

170
Kongsi :
Previous post BANTUAN ONE-OFF KE IPT TAPEM MASIH DIBUKA
Next post HARI PERTAMA SMIX 2024 MERIAH
Ubah saiz-+=