Ganjaran paralimpik kekal – Ahmad Faizal

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

PUTRAJAYA 30 Ogos – Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berjanji imbuhan bagi atlet yang mencapai kejayaan di temasya Sukan Paralimpik 2020, akan kekal.

Beliau berkata kejayaan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dan usaha yang dilakukan mereka, dianggap lebih bernilai daripada ganjaran yang diberikan itu.

“Sudah tentu apabila kita perkenalkan satu dasar, kita akan terus ikut apa yang ditentukan.

“Ia juga sebagai pembakar semangat kepada para atlet yang bertarung pada Paralimpik Tokyo ini, yang membuat seluruh rakyat Malaysia berbangga.

“Setakat ini saya tidak nampak ia (ganjaran) akan diturunkan (kerana ramai menang pingat). Tetapi kita harapkan lebih ramai atlet akan berjaya,” katanya pada sidang media pertama selepas memulakan tugasnya secara rasmi bersama Timbalannya Datuk Seri Ti Lian Ker di Menara KBS di sini, hari ini.

Di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), setiap atlet yang meraih pingat emas di Olimpik dan Paralimpik akan menerima insentif RM1 juta, diikuti RM300,000 bagi perak dan RM100,000 untuk gangsa.

Pemenang pingat juga layak menerima pencen bulanan sepanjang hayat sebanyak RM5,000 bagi emas, RM3,000 bagi perak dan RM2,000 bagi gangsa di bawah Skim Imbuhan Tetap Olimpik dan Paralimpik (SITO).

Terdahulu, Ahmad Faizal dan Ti antara barisan menteri dan timbalan menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut menegaskan bahawa beliau tidak akan tergesa-gesa untuk menukar polisi sedia ada di kementerian tersebut sehingga membawa kesan kepada atlet selepas berubahnya pucuk kepimpinan, tetapi fokus terhadap mencapai matlamat untuk memastikan atlet membawa pulang pingat daripada kejohanan antarabangsa.

“Apa yang perlu kami lakukan ialah perbaiki apa yang ada, yang baik ditambah baik dan apa yang perlu ubah suai mengikut keadaan semasa, itu kita lakukan.

“Pencapaian atlet pada masa ini bukan datang dalam sehari, ia bermula lima atau 10 tahun yang lepas,” katanya.

Beliau berkata walaupun pencapaian 100 hari yang dititikberatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob penting dicapai, beliau dan timbalannya bertanggungjawab dalam merencana strategi untuk kejayaan sukan dan belia melangkaui pilihan raya umum dan Olimpik seterusnya.

Ditanya mengenai penantian industri sukan seperti operator gimnasium, gelanggang badminton, futsal dan kolam renang untuk kembali beroperasi, beliau berkata ia dijangka diselesaikan dalam masa terdekat selepas mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

341
Kongsi :
Previous post PPM edar Bunga Raya, semarakkan Hari Kemerdekaan
Next post Keluarga Malaysia perlu bertekad pulihkan negara daripada COVID-19
Ubah saiz-+=