Keluarga Malaysia perlu bertekad pulihkan negara daripada COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Keluarga Malaysia perlu membulat tekad untuk memulihkan negara daripada COVID-19 tanpa mengira batasan agama bangsa dan kaum.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, musuh paling utama itu perlu terus diperangi agar membolehkan Malaysia membuka semula jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu.

“Sempena sambutan kemerdekaan ke-64 marilah kita membulat tekad memulihkan negara kerana cabaran serentak iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi yang menggugat kestabilan politik negara kita dan di seluruh dunia belum pernah ditempuhi pemimpin dan kerajaan sebelum ini.

“Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan.

“Saya ingin menyeru kepada Keluarga Malaysia agar segeralah mendapatkan vaksin sebagai salah satu ikhtiar pemulihan negara yang telah terbukti memberi impak positif terutamanya dalam usaha memerangi wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Hari Kebangsaan 2021 yang disiarkan di stesen televisyen dan radio tempatan malam ini.

Ismail Sabri berharap hasil kerjasama rakyat Malaysia kali ini diharapkan merupakan tahun terakhir negara meraikan kemerdekaan dalam situasi berperang dengan pandemik COVID-19.

“Marilah kita memerdekakan negara kita daripada pandemik ini, daripada kegawatan ekonomi dan daripada ketidakstabilan politik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perjuangan menuntut kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua telah menyatukan seluruh kepimpinan tanpa mengira garis politik dalam menolak gagasan Malayan Union.

“Inilah sebenarnya semangat dan perjuangan yang wujud sejak dulu lagi, dengan matlamat mencapai kemerdekaan tanah air.

“Semangat perjuangan yang tumbuh daripada anak-anak bumi bertuah ini tidak pernah patah atau luntur.

“Malah, ia sentiasa bercambah dan semakin kukuh sepertimana yang kita warisi kini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post Ganjaran paralimpik kekal – Ahmad Faizal
Next post Hampir semua persatuan penggiat pelancongan Melaka catat 90 peratus kadar vaksinasi lengkap
Ubah saiz-+=