PPM edar Bunga Raya, semarakkan Hari Kemerdekaan

0
254
SULAIMAN (tengah) meneliti Bunga Raya empat warna yang disampaikan Norhizam di pejabatnya di Seri Negeri, hari ini.

AYER KEROH 30 Ogos – Pembangunan Pertanian Melaka (PPM) Sdn Bhd mengambil inisiatif mengedarkan pokok Bunga Raya kepada kira-kira 240 jabatan kerajaan di negeri bagi menyemarak sambutan Hari Kemerdekaan ke-64.

Inisiatif itu sekali gus mampu mengekalkan kembali identiti bunga kebangsaan yang dipercayai semakin jarang ditemui kebelakangan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhammad Muhaimin Low Abdullah berkata, kelainan dilakukan pihaknya bertujuan memastikan Bunga Raya tidak pupus dan dikenali generasi akan datang.

MUHAMMAD Muhaimin menunjukkan antara spesies daripada lapan pokok Bunga Raya yang diagihkan.

“Sebanyak lapan spesies pokok Bunga Raya telah diagihkan kepada 240 jabatan terlibat sejak Khamis lalu dan kebanyakan wakil-wakil jabatan menzahirkan rasa teruja dan terharu menerimanya.

“Walaupun negara berdepan cabaran pandemik COVID-19, kita tetap meraikan sambutan kemerdekaan ke-64, namun dengan cara yang berbeza dalam suasana norma baharu.

“Pengedaran Bunga Raya ini juga dilihat mampu mengingatkan semua warga penjawat awam untuk terus bersemangat menyambut kemerdekaan yang mana sesi penyerahan telah dilaksanakan sehingga hari ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas penyerahan pokok Bunga Raya empat warna oleh Exco Pertanian, Penternakan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Norhizam Hassan Baktee kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Seri Negeri, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi mengekalkan landskap dan menceriakan lagi negeri ini, pihaknya bersedia menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk penanaman pokok Bunga Raya.

“Kita juga menyediakan kira-kira 150 Jalur Gemilang pelbagai saiz untuk hiasan di pejabat, kenderaan kerajaan dan turut diberikan kepada kakitangan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.