‘Geng Adi’ tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

MALIM, 5 Ogos – Polis berjaya menumpaskan kegiatan khianat yang mengakibatkan kerugian syarikat telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) bernilai anggaran RM500,000 selepas menahan lapan suspek lelaki dikenali sebagai Geng Adi semalam.

Enam suspek berusia antara 24 tahun hingga 42 tahun ditahan di lokasi berasingan di daerah Muar dan Batu Pahat, Johor serta Ayer Keroh antara jam 12.50 tengah malam hingga 7 pagi Isnin lalu.

Dua lagi suspek berusia 24 dan 27 tahun hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada antara jam 6 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata pihaknya menerima empat laporan polis memaklumkan berlaku pemotongan kabel fiber optik di beberapa lokasi di daerah ini dipercayai angkara perbuatan khianat pada 30 Julai lepas.

Katanya, bertindak daripada laporan itu polis menahan enam suspek termasuk dalang utama kumpulan berkenaan berusia 42 tahun di beberapa lokasi di Johor dan Ayer Keroh.

“Dalam penahanan itu, polis merampas tiga kereta, dua kunci ‘manhole’ dan alat pemotong,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Taklimat Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Balai Polis Malim, di sini hari ini.

Menurut Afzanizar, siasatan turut mendapati kumpulan terbabit melakukan khianat dengan memotong fiber optik milik TM hingga mengakibatkan gangguan telekomunikasi bangunan kerajaan dan kawasan perumahan di sekitar Ayer Keroh, Bukit Baru dan Jasin.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan kumpulan terbabit mengakibatkan TM mengalami kerugian bernilai RM500,000 bagi menanggung kos pelbagai kerosakan serta menggantikan semula peralatan fiber.

Jelasnya, siasatan lanjut mendapati dua daripada suspek berusia 26 dan 27 tahun mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan curi kereta.

“Semua suspek direman empat hari bermula tarikh tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh membawa penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Views:

623
Kongsi :
Previous post Bendera terbalik lagi, sudah merdekakah kita?
Next post Kes baharu positif COVID-19 melonjak kepada 21 kes
Ubah saiz-+=