Kes baharu positif COVID-19 melonjak kepada 21 kes

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Selepas mencatat hanya satu kes semalam, angka positif COVID-19 di Malaysia melonjak kepada 21 kes hari ini dengan 15 daripadanya kes import melibatkan warganegara Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kes lagi merupakan penularan tempatan melibatkan warganegara dengan tiga daripadanya ialah Kluster PUI Sivagangga di Kedah.

“Sementara tiga kes lagi melibatkan dua kes di Sabah iaitu masing-masing kes saringan prapembedahan di Hospital Queen Elizabeth dan satu saringan praprosedur di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah serta satu kes saringan prapembedahan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” menurutnya dalam kenyataan berhubung perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau juga berkata kes positif COVID-19 di Malaysia ialah sebanyak 9,023 dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 196.

Terdapat 18 kes pulih dengan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 8,702 atau 96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, katanya.

Memperincikan lebih lanjut, Dr Noor Hisham berkata terdapat dua kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) namun tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau berkata tiada pertambahan kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal 125 kes atau 1.385 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Menjelaskan mengenai 15 kes positif import yang mendapat jangkitan di luar negara, Dr Noor Hisham berkata warganegara terlibat adalah mereka yang pulang ke Malaysia dari Yaman (12 kes), Papua New Guinea (satu kes), Ivory Coast (satu kes) dan United Kingdom (satu kes).

“Semua kes import ini di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan mereka telah diasingkan di pusat kuarantin selepas ketibaan di pintu masuk KLIA, justeru tidak membawa risiko jangkitan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Bagi perkembangan Kluster PUI Sivagangga, Dr Noor Hisham berkata setakat ini, sejumlah 1,647 orang disaring dalam kluster itu dan 24 didapati positif, 754 negatif manakala 869 masih menunggu keputusan ujian.

Bagi tiga kes baharu kluster itu, beliau berkata kesemuanya dikenal pasti melalui saringan kontak rapat kes positif kluster tersebut dan mereka adalah kes generasi kedua.

“Dua daripada kes tersebut adalah kontak rapat kepada kes ke-9,000 dengan kedua-duanya adalah anak kepada kes tersebut (kes ke-9,021 dan ke-9,022).

“Seorang daripada anak beliau mengalami gejala saluran pernafasan pada 30 Julai namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

“Kes ketiga (kes ke-9,023) pula adalah kontak rapat kepada kes ke-8976 yang mengalami gejala demam serta gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Taman Selasih, Kulim,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata mesej tular berkaitan kes ketiga yang mengandungi maklumat terperinci mengenai kawasan yang didakwa telah dikunjungi pesakit adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan mesej itu.- BERNAMA

Views:

384
Kongsi :
Previous post ‘Geng Adi’ tumpas
Next post Dua hari RM29,000
Ubah saiz-+=