‘Geng Yus EX5’ curi motosikal dan pecah pejabat ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDAR MELAKA 8 Sept – Penahanan lapan remaja lelaki membongkar kegiatan pecah masuk sebuah pejabat di Taman Permatang Pasir Perdana membabitkan kerugian berjumlah RM19,500.

Suspek berusia antara 13 hingga 17 tahun dan dikenali ahli Geng Yus EX5 itu ditahan dalam beberapa serbuan di Kandang, Tiang Dua, Semabok dan Permatang Pasir Perdana bermula 28 Ogos lalu hingga kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang mekanik berusia 30 tahun yang mendakwa kehilangan motosikal yang diparkir di kediamannya di Blok Begonia Pangsapuri Bukit Katil, pada jam 6 petang, 26 Ogos lalu.

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

Katanya, bertindak atas laporan itu pihaknya melakukan beberapa serbuan di kawasan Kandang dan Tiang Dua bermula jam 11.10 malam dua hari kemudian.

“Dalam serbuan itu, polis menahan enam lelaki berusia 13 hingga 17 tahun dan merampas empat motosikal jenis Honda EX5 di Tiang Dua, dipercayai dicuri.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kumpulan ini dipercayai turut terbabit dalam kejadian pecah pejabat pada bulan lalu di Taman Permatang Pasir Perdana, Melaka.

“Kejadian itu melibatkan kehilangan peralatan komputer jenis iMac dengan anggaran kerugian RM19,500,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Menurut Afzanizar, susulan maklumat berkenaan pihaknya melakukan serbuan di Semabok serta Permatang Pasir dan menahan dua remaja lelaki berusia 17 tahun.

“Polis turut menemui dan merampas semula peralatan komputer yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Semua suspek direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun jika disabit kesalahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

919
Kongsi :
Previous post Penjawat awam tolak vaksin, gagal laksana dasar kerajaan
Next post Kawasan Lembah Klang beralih Fasa 2 mulai 10 September – PM
Ubah saiz-+=