Kawasan Lembah Klang beralih Fasa 2 mulai 10 September – PM

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KUALA LUMPUR 8 Sept – Kerajaan bersetuju membenarkan peralihan ke Fasa 2 bagi kawasan Lembah Klang, berkuat kuasa 10 September (Jumaat) ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19, hari ini.

“Kerajaan bersetuju membenarkan peralihan ke Fasa 2 bagi kawasan Lembah Klang iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya berkuat kuasa 10 September 2021.

“Antara kelonggaran diberikan sama seperti negeri-negeri yang telah memasuki Fasa 2 sebelum ini seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Rentas daerah dibenarkan kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin, pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin dibenarkan untuk merentas negeri, ibu bapa yang mendapat dua dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun.

“Selain itu ‘dine-in’ turut dibenarkan di premis makanan untuk pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin dan aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan homestay bagi individu yang telah lengkap dua dos,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, jawatankuasa turut memutuskan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama.

“Maka, pergerakan antara negeri-negeri ini adalah dibenarkan dan tiada lagi sekatan jalan raya,” katanya.

Menurutnya, jawatankuasa turut bersetuju melonggarkan SOP bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi untuk negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 1.

“Antara ketetapan yang diputuskan ialah membenarkan aktiviti sukan indoor kecuali gimnasium kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin.

“Fasiliti sukan dan rekreasi komersil tertutup (indoor) dibenarkan beroperasi dengan kawal selia, hanya kepada pelanggan yang telah lengkap divaksin.

“Penggunaan fasiliti perlu dilakukan secara janji temu di samping pematuhan SOP,” katanya.

Ujarnya keputusan itu dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta MKN

“Bagi sektor perdagangan dan pengedaran, perniagaan kedai bunga/nursery, kedai peralatan outdoor dan galeri perumahan akan dibenarkan beroperasi mulai 10 September 2021 bagi negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 1.

“Sementara itu bagi negeri yang diletakkan di bawah Fasa 2 dan Fasa 3, kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, hair dresser dan salon kecantikan dibenarkan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

640
Kongsi :
Previous post ‘Geng Yus EX5’ curi motosikal dan pecah pejabat ditahan
Next post Kerajaan perlu wujudkan sistem saraan baharu
Ubah saiz-+=