Geomatika University College anugerah Toh Puan gelaran Doktor Kehormat

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 1 Jan. – Geomatika University College (GUC) menganugerahkan Doktor Kehormat kepada Toh Puan Asmah Abd Rahman sebagai Canselor GUC, baru-baru ini.

Penganugerahan itu diberikan pada Istiadat Pemasyhuran Canselor & Penganugerahan Doktor Kehormat di Ames Hotel.

Asmah dianugerahkan Doktor Kehormat dalam bidang pembangunan wanita dan keluarga  bertepatan dengan sumbangan dan usaha murni beliau dalam aktiviti pembangunan wanita dan keluarga khususnya di Negeri Melaka.

Penganugerahan ini turut menaikkan semangat beliau untuk meneruskan usaha dalam membantu menaikkan martabat kaum wanita.

Sebagai Canselor GUC, beliau (Asmah) meletakkan harapan tinggi untuk meningkatkan kemajuan universiti di samping membantu anak-anak Melaka khususnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tertinggi.

Beliau juga berharap dapat melaksanakan tugas sebagai Canselor dengan baik dan mendoakan agar GUC meraih kejayaan dalam mendidik anak bangsa seterusnya menyumbang bakti kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Sementara itu, Presiden Kumpulan Geomatika, Prof. Datuk Sr Dr. Mohaizi Mohamad bersyukur dengan kejayaan GUC yang memasuki tahun ke-16 selepas ditubuhkan pada 2004.

“GUC banyak membangunkan program berdaya saing untuk memenuhi permintaan industri semasa.

“GUC juga melancarkan pelan strategik untuk 5 tahun ke depan bertemakan ‘Shaping 25 Beyond Education -The New Business’ yang memberi fokus untuk mencapai taraf universiti penuh pada tahun 2021 dan menjadikan GUC sebagai universiti digital dan new business, ” katanya.

Bermula tahun 2020, GUC menjadi sebuah institusi yang mengalakkan pengajaran dan pembelajaran secara Agile dan Global berpandukan kepada dunia empat dimensi VUCA COVID-19 (Volatile, Uncertain, Complexity, Ambiguous) dan cara untuk mengubah situasi kepada Vision, Understanding, Clarity & Agility.

Katanya, Niche program GUC ialah program di bawah mod Online Distance Learning (ODL) dan GUC bersiap sedia bagi pembelajaran secara atas talian untuk memastikan pelajar boleh meneruskan kuliah seperti biasa sepanjang tempoh pandemik ini.

“GUC juga berhasrat membangunkan sebuah Universiti Masa Depan yang memberi fokus kepada Medical Nanotechnology di Melaka.

“Ini selaras dengan visi dan pemahaman Canselor untuk membangunkan anak-anak Melaka ke tahap tertinggi selain melahirkan usahawan tersohor seperti Zaman Kegemilangan Empayar Melaka,” katanya lagi.

Mohaizi yakin dengan adanya sokongan daripada Canselor dan juga potensi Sektor Pendidikan Tinggi di Melaka ia membantu anak-anak Melaka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang tinggi.

“Kejayaan GUC menubuhkan sebuah Yayasan dikhususkan untuk membantu pelajar-pelajar di bawah Kumpulan Pendidikan Geomatika, ibu tunggal, anak yatim, golongan kurang upaya (OKU) dan mangsa bencana alam.

“Yayasan Geomatika menjalankan banyak aktiviti untuk membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang,” katanya.

GUC juga turut memberikan penganugerahan Doktor Kehormat dan Profesor kepada individu yang memberi sumbangan, pandangan serta idea yang bernas untuk membangunkan pendidikan anak bangsa khasnya di GUC.

Asmah merupakan isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam yang aktif menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan wanita di Melaka termasuklah menjadi Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Negeri Melaka dan Pengerusi Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Melaka.

Sumbangan dan usaha Asmah dalam membangunkan masyarakat di Negeri Melaka merupakan salah satu faktor yang dipandang tinggi GUC sekali gus melantik beliau sebagai Canselor GUC.

Views:

3142
Kongsi :
Previous post Kereta terjunam dalam sungai, lapan lemas
Next post Agong, Permaisuri zahir dukacita kemalangan menimpa Nur Izzah
Ubah saiz-+=