GKP 4.0: RM1,000 bantu peniaga kecil bermula September

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PUTRAJAYA 28 Jun – Peniaga kecil termasuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bakal menerima bantuan RM1,000 menerusi Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan itu diberikan bertujuan untuk membantu kelangsungan perniagaan peniaga kecil termasuk pengusaha kedai gunting rambut, pemilik workshop, kedai roti dan kek dan lain-lain sepanjang tempoh Pelan Pemulihan yang akan berlangsung secara berfasa.

Jelasnya, bantuan itu akan diberikan di dalam dua fasa iaitu pembayaran pertama berjumlah RM500 akan diberikan pada September depan, dan bakinya RM500 lagi bakal dimasukkan ke dalam akaun penerima pada November 2021.

“Secara keseluruhan Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM5.1 bilion melalui inisiatif GKP. Terkini, di bawah PEMERKASA Tambahan, penerima yang layak telahpun mendapat bayaran GKP 3.0 mereka sebanyak RM1,000 kira-kira dua minggu lepas, dan bakal mendapat RM500 lagi pada pertengahan Julai nanti.

“Memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha PKS mikro pada masa ini, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan bayaran tambahan di bawah GKP 4.0 kepada penerima yang layak iaitu sebanyak RM500, akan dibayar pada September dan RM500 lagi pada November 2021.

“Kerajaan berharap dengan bayaran GKP 4.0 ini, kira-kira sejuta usahawan PKS mikro dapat mengurangkan tanggungan bulanan dan membantu aliran tunai mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan akan membuka pendaftaran dan permohonan baharu GKP bagi usahawa mikro yang belum mendaftar atau memohon.

Jelasnya, pendaftaran itu akan mula dibuka pada pertengahan Julai nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

283
Kongsi :
Previous post RM500 bantuan tunai kepada pekerja hilangan pendapatan
Next post Pengeluaran i-Citra KWSP sehingga RM5,000
Ubah saiz-+=