Gotong Royong Perdana serentak seluruh Melaka 3 Oktober

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

RIM 12 Sept. – Program Gotong Royong Perdana akan diadakan secara serentak pada 3 Oktober di seluruh negeri ini sebagai inisiatif membendung wabak denggi yang meningkat di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali berkata, program yang diadakan secara besar-besaran itu akan melibatkan seluruh peringkat Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK).

Ujarnya, inisiatif dalam membendung usaha terbabit telah diputuskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi melaksanakan program yang membabitkan seluruh penduduk di negeri ini.

“Kita melihat kes demam denggi di Melaka sentiasa berada pada tahap tinggi dan sebanyak 1,847 kes direkodkan sehingga 5 September lalu.

“Biarpun kita sering memberi tumpuan bagi membendung wabak COVID-19 namun tumpuan pada kes demam denggi ini perlu seiring dan digerakkan bagi membanteras perkara ini.

“Hal ini penting disebabkan kes ini telah meningkat sebanyak 17.2 peratus dalam tempoh sama berbanding pada tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Kit Makanan Kepada Warga Orang Asli Daerah Jasin 2020, di Kampung Orang Asli Lubuk Bandug, di sini petang tadi.

Pada program berkenaan sebanyak 284 kit makanan berbentuk barangan keperluan dapur telah diagihkan kepada setiap keluarga golongan itu membabitkan enam perkampungan yang terdapat di Daerah Jasin.

Views:

271
Kongsi :
Previous post KM santuni warga Kampung Orang Asli Lubok Bandung
Next post Pendidikan Orang Asli terus diperkasa
Ubah saiz-+=