Graduan UTeM capai kebolehpasaran lebih 90 peratus, jadi buruan utama majikan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

DURIAN TUNGGAL 18 Mac – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan (GE) sebanyak 91% bagi graduan yang telah menamatkan pengajian mereka pada tahun 2021.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata, berdasarkan kajian dalaman GE yang dijalankan oleh Pusat Pengurusan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan (PPAKG), kadar yang diperolehi adalah berdasarkan faktor keseluruhan GE yang mana peratusan bekerja dalam sektor swasta tempatan dan multinasional mencatatkan penyumbang terbesar dalam kadar kebolehpasaran graduan.

Jelasnya, pencapaian ini menzahirkan bahawa graduan UTeM terus menjadi buruan dan pilihan utama para majikan dalam ekonomi dan pertumbuhan industri dalam negara.

“Antara faktor pendorong graduan UTeM menjadi pilihan utama adalah faktor keyakinan pihak majikan, terutama sektor perindustrian terhadap kemampuan graduan UTeM yang kompeten dan berkemahiran tinggi serta turut dipakejkan dengan ciri keusahawanan tinggi.

“Di samping itu, graduan UTeM telah dilengkapkan dengan ilmu yang komprehensif dan turut dipasakkan dengan semangat TUAH UTeM yang jitu sekaligus berupaya memenuhi keperluan dan kehendak industri yang kini berteraskan gelombang Revolusi Industri 4.0,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

PROF Ir Dr Ghazali Omar

Mengulas lanjut, UTeM selaku Universiti Awam Teknikal pertama di Malaysia akan terus mendukung agenda pemerkasaan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi negara.

Katanya, UTeM terus komited menghasilkan sumber manusia berkemahiran tinggi yang amat diperlukan bukan hanya pasaran dalam negara malahan merentas sempadan dunia.

Mengupas mengenai asas GE ini, Dr Ghazali berkata secara asasnya GE dinilai berdasarkan 4 perkara iaitu bekerja, melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran, menunggu penempatan pekerjaan, dimana kelompok bekerja mencatatkan peratus tertinggi bagi setiap tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1855
Kongsi :
Previous post 48 cerun di Ampang Jaya dalam kategori kritikal
Next post Ibu tunggal rugi RM225,900 dijerat cinta maya
Ubah saiz-+=