Sorting by

×

Guna taktik licik demi minyak masak peket

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

LENDU 24 Jun – Ada sesetengah pelanggan menggunakan taktik licik masuk ke kedai runcit secara berasingan semata-mata untuk mendapatkan minyak masak peket melebihi kuantiti ditetapkan.

Peniaga, Fatihah Amirullah, 26, berkata ekoran permintaan tinggi terhadap minyak masak bersubsidi itu, dia terpaksa mengehadkan pembelianhanya dua paket bagi setiap pelanggan.

Meskipun begitu, dia mendapati ada pelanggan yang cuba menggunakan taktik datang secara berkumpulan untuk mendapatkan lebih banyak bekalan minyak masak berkenaan.

Antara ‘modus operandi’ digunakan ialah selepas seorang membawa keluar bahan memasak itu, seorang lagi masuk untuk mendapatkannya, sekali gus menjadikan mereka berjaya memperoleh lebih daripada dua minyak berkenaan.

“Saya perlu memberikan peluang kepada lebih ramai pelanggan untuk mendapatkan minyak itu, terutama apabila harga minyak masak botol semakin meningkat.

“Bukannya saya tidak tahu ada pelanggan yang dalam satu keluarga datang seorang demi seorang untuk mendapatkan dua paket minyak masak peket tetapi saya tiada kuasa untuk tidak menjualnya kerana mereka menafikan datang dalam kumpulan,” katanya di kedai runcitnya di pekan ini hari ini.

Beliau berkata, jika pelanggan membeli pelbagai barangan lain, mereka diberikan peluang mendapatkan tiga minyak masak berpaket.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan pelanggan berhati mulia hanya mendapatkan dua paket dengan alasan peluang harus diberikan kepada pelanggan lain berikutan kesukaran untuk mendapatkannya sekarang.

Katanya, minyak masak berkenaan laris bagaikan pisang goreng panas dan lazimnya kebanyakan pelanggan adalah peniaga makanan yang amat memerlukannya.

Mengenai penjualan minyak masak botol, Fatihah berkata, setakat ini belum ada pelanggan mendapatkannya dalam jumlah yang banyak meskipun menyedari subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram (kg) akan dimansuhkan mulai 1 Julai ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1050
Kongsi :
Previous post Melaka tangga kelima negeri terima pelaburan tertinggi
Next post Peniaga jangan jual lebih kapasiti dibenarkan – KPDNHEP
Ubah saiz-+=