Sorting by

×

Peniaga jangan jual lebih kapasiti dibenarkan – KPDNHEP

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BACHANG 24 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka memberi peringatan keras buat peniaga, pemborong dan peruncit di negeri ini agar tidak menjual barang kawalan melebihi kapasiti dibenarkan.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepada peniaga yang melakukan kesalahan menerusi pemeriksaan Op Ayam, Telur dan Minyak Masak (Op ATM) yang dilaksanakan sejak awal bulan ini.

“Op ini kita fokus kepada jualan ayam, telur dan minyak masak sebab kita tidak mahu dalam tempoh masa seminggu ini orang akan mula buat ‘stock out’, jadi 76 penguat kuasa melakukan pemantauan 24 jam.

“Begitu juga pasar raya besar kita beri amaran jangan jual lebih daripada kapasiti terutama sekali minyak masak yang hanya dibenarkan tiga paket sahaja satu keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pasar Besar MBMB di sini, hari ini yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Norena berkata, KPDNHEP telah memeriksa sebanyak 21,044 premis perniagaan di negeri ini bagi menguar-uarkan aktiviti naziran seksyen penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan sebanyak 235 kes direkodkan yang mana kes tertinggi melibatkan di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) iaitu sebanyak 161 kes dan selebihnya melibatkan lain-lain akta yang dikuatkuasakan.

“Justeru, sebanyak 161 notis telah dikeluarkan kepada peniaga bagi mengesan sebarang kemungkinan pencatutan yang dilakukan peniaga berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1778
Kongsi :
Previous post Guna taktik licik demi minyak masak peket
Next post Kemasukan pelaburan asing ke Melaka dijangka lebih tinggi menjelang hujung tahun – MIDA
Ubah saiz-+=