Guru memainkan peranan penting menangani penyalahgunaan dadah di sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 3 Mac.- Institusi pendidikan perlu menjadi medium terbaik bagi pembentukan sahsiah dan pembangunan jati diri pelajar terutama dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah di sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, justeru beliau mengharapkan semua guru mengambil tahu serta mengenal pasti punca permasalahan pelajar hingga terjerumus dengan najis dadah.

Katanya, guru juga perlu meningkatkan kemahiran dalam memberikan pendedahan mengenai bahaya dadah dadah dalam kalangan pelajar dengan melencongkan tumpuan mereka dengan aktiviti sosial bermanfaat.

“Amat penting untuk guru mempunyai pengetahuan mengenai faktor risiko yang menyebabkan pelajar sekolah terjerumus dalam kancah dadah.

“Selain itu, program pendidikan mengenai pencegahan dadah misalnya, tidak boleh dianggap sebagai program sampingan atau bermusim sebaliknya diadakan secara berterusan agar pelajar sentiasa peka mengenai bahaya dadah,” katanya.

Beliau berucap menerusi sidang video sebelum merasmikan Seminar Great Teacher Organization (GTO) sempena Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) ke-38 di studio Melaka Hari Ini (MHI), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, guru perlu memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta agensi kerajaan bagi menangani isu penularan dadah dalam kalangan pelajar.

“Amat penting persekitaran yang kondusif diwujudkan di sekolah supaya pelajar dapat dijauhkan dari sebarang pemasalahan sosial.

“Guru terutama berlatar belakangkan pendidikan kaunseling dan psikologi perlu menangani isu disiplin serta pelanggaran tingkah laku dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata, guru memainkan peranan penting bagi membentuk sahsiah dan jati diri pelajar tidak kira dalam peringkat sekolah menengah mahupun sekolah rendah.

“Setiap murid dan pelajar dilengkapkan dengan kemahiran kendiri seperti kemahiran asertif, kemahiran bersosial, kemahiran komunikasi dan mengamalkan gaya hidup sihat serta penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5436
Kongsi :
Previous post 1.5 juta meter pintar akan dipasang di Lembah Klang dan Melaka
Next post Hajiji dilantik pro-canselor UMS
Ubah saiz-+=