Hameed janji tunai amanah sebaik mungkin

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 5 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer tidak menjangka akan dilantik sebagai antara barisan Exco Kerajaan Negeri yang baharu.

Beliau menyifatkan portfolio Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan yang dipertanggungjawabkan kepadanya sebagai satu amanah dan bertekad untuk mendalami bidang tugas baharu itu sebaik mungkin.

“Saya akan cuba tunaikan amanah dan tanggunjawab ini (kerana) yang penting kepercayaan yang diletakkan Kerajaan Negeri untuk saya menerajui portfolio ini memerlukan saya untuk mempelajari dengan lebih mendalam.

“Saya perlu mengenali portfolio ini di mana langkah awal saya perlu berjumpa agensi dan jabatan untuk sesi taklimat dan ramah mesra.

“Saya tidak boleh lagi bercakap soal fokus atau visi dan misi kerana apa yang paling penting adalah untuk saya mengenali lebih dekat bidang kuasa baharu yang dipertanggungjawabkan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Balai Istiadat Dewan Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hameed merupakan antara tiga wajah baharu dalam kalangan Adun Melaka yang dilantik menganggotai 10 barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Antara dua wajah baharu yang lain adalah Adun Asahan, Fairul Nizam Roslan yang dilantik sebagai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital satu satunya wakil rakyat daripada Pakatan Harapan iaitu Adun Kesidang, Allex Seah Shoo Chin yang dilantik Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2439
Kongsi :
Previous post Perlu dua minggu sesuaikan diri jadi Exco – Allex
Next post Ajal ketika lintas jalan untuk beli buah
Ubah saiz-+=