Hampir RM300 juta bantuan disalurkan ke TAPEM sejak 2000

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

LENDU 29 Sept. – Pelbagai inisiatif akan diteruskan menerusi bantuan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) bagi menjamin kebajikan institusi pendidikan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Sulaiman Md. Ali berkata, hampir RM300 juta peruntukan telah disalurkan kepada tabung itu sejak tahun 2000 bagi membantu anak kelahiran Melaka khususnya kalangan B40.

Katanya, pelbagai saluran bantuan dan biasiswa telah dimanfaatkan membabitkan pelbagai peringkat pendidikan termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi mahupun tahfiz dengan jumlah 197,301 orang penerima inisiatif terbabit.

“Pelbagai lagi inisiatif menerusi bantuan pendidikan TAPEM ditawarkan kepada anak Melaka seperti dermasiswa buat pelajar agar kita memastikan pendidikan ini adalah perkara yang perlu dituntut.

“Kerajaan negeri bersama agensi penyumbang yang lain tidak pernah terputus demi memastikan masa depan anak-anak diangkat ke arah melahirkan manusia berguna pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Anugerah Sekolah & Pelajar Cemerlang UPSR, SPM, STPM, STAM Kerajaan Negeri Melaka 2020 Peringkat Parlimen Alor Gajah dan Masjid Tanah di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi MARA ( UiTM) Alor Gajah, semalam.

Terdahulu, Sulaiman pada ucapannya berkata program yang diadakan itu mampu menyuntik semangat dan motivasi dalam mengekalkan momentum kecemerlangan pelajar di negeri ini

Ujarnya, anugerah yang disampaikan itu sekali gus membentuk semangat pelajar di negeri ini dalam mengekalkan kecemerlangan kokurikulum, kurikulum dan sahsiah.

“Dengan penganugerahan ini saya harap pelajar di negeri ini akan bersemangat menuntut ilmu bersungguh-sungguh dan menjadi sebagai ‘role model’ kepada pelajar lain.

“Anak-anak perlu bersedia bagi mencabar diri sendiri dan perlu berusaha agar cita-cita yang diazamkan dapat dipacu dengan baik.

“Para pelajar mahupun guru juga perlu bergerak seiring dengan kemajuan era terkini malah mereka perlu kreatif dan inovatif dalam mengejar ilmu pengetahuan ini, ” katanya

Anugerah Sekolah & Pelajar Cemerlang UPSR, SPM, STPM, STAM Kerajaan Negeri Melaka 2020 telah menganugerahkan seramai 749 pelajar cemerlang peperiksaan pada tahun 2019 yang disenaraikan daripada setiap parlimen di negeri ini.

Dalam angka tersebut, seramai 213 pelajar cemerlang direkodkan di Parlimen Hang Tuah Jaya, 213 pelajar di Parlimen Kota Melaka, 81 pelajar di Parlimen Tangga Batu, 50 pelajar di Parlimen Masjid Tanah, 119 pelajar di Parlimen Alor Gajah dan 73 pelajar di Parlimen Jasin.

Views:

461
Kongsi :
Previous post Festival Kuih Bulan BPP pada 3 Oktober depan
Next post TABIKA elit untuk M40 dalam pertimbangan
Ubah saiz-+=