TABIKA elit untuk M40 dalam pertimbangan

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TABOH NANING 29 Sept. – Cadangan bagi mewujudkan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Elit buat golongan sasaran isi rumah berpendapatan kurang RM100,000 (M40) merupakan inisiatif bagi mentransformasikan perkhidmatan TABIKA Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, cadangan itu juga bagaimanapun tetap akan mengekalkan TABIKA KEMAS sedia ada, namun pihaknya sedang merangka perubahan bagi memberi pilihan ibu bapa yang berminat dengan bayaran yang tertentu.

Jelasnya, cadangan yang dilaksanakan KEMAS itu masih di dalam peringkat perbincangan awal dan di dalam proses perangkaan kertas kerja.

“Cadangan ini bagi memberi kemudahan kepada ibu bapa golongan M40 dan ia bukannya satu paksaan , namun memberikan pilihan ibu bapa kepada kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun untuk mendapatkan pendidikan awal kanak-kanak.

“Perancangan kita, kita nak ubah kepada TABIKA Elit kepada siapa yang berminat dan kita tak paksa, yang biasa kita kekalkan.

“Ini baharu diperingkat perbincangan, sekiranya nak dilaksanakan akan dibawa ke peringkat kelulusan kabinet dan seterusnya untuk dibentangkan dalam rang undang-undang dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Pendidikan Awal Kanak (SPAK) 2020 di Kem Permata Resort, hari ini.

Program yang diadakan membabitkan penyertaan empat buah negeri telah menerima sijil Kursus Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) disampaikan sendiri oleh Abdul Rahman dengan jumlah 222 orang penerima daripada pelatih calon Pendidik Masyarakat Tabika dari Institut Latihan KEMAS Kuantan Pahang, Terengganu, Melaka dan Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, pihaknya turut menyasarkan sebanyak 50 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) akan ditambah menerusi KEMAS di seluruh negara.

Katanya, perancangan itu begitu wajar rentetan sambutan daripada ibu bapa yang menghantar anak-anak lingkungan usia 2 hingga 4 tahun disebabkan yuran yang begitu memuaskan semaksimum RM150 sebulan.

“Sedangkan caj yang dikenakan di perkhidmatan swasta hampir mencecah RM600 bagi seorang kanak-kanak, itu pun dalam tempoh beberapa jam sahaja sedangkan kita murah dan ia cuma hanya seperti sumbangan saja,” katanya.

“Kita akan perkasakan lagi institusi pendidikan awal kanak-kanak ini malah menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM23 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf membabitkan 10,900
TASKA dan TABIKA KEMAS yang uzur serta mengalami kerosakkan sepanjang tahun ini,” katanya.

Views:

344
Kongsi :
Previous post Hampir RM300 juta bantuan disalurkan ke TAPEM sejak 2000
Next post MU tunggu keputusan MFL
Ubah saiz-+=