MU tunggu keputusan MFL

AYER KEROH 29 Sept. – Melaka United (MU) masih menunggu keputusan pentadbir Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) berhubung status aksi bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Mohd Asri Ninggal berkata, pihaknya menjangkakan keputusan itu akan diperoleh dalam masa terdekat sebelum dapat mengeluarkan kenyataan lanjut.

“Kita belum dapat keputusan daripada MFL sama ada aksi bertemu Kedah ditangguhkan atau tidak.

“Mungkin esok atau masa terdekat kita akan dapat keputusan, InsyaAllah,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Terdahulu, MHI melaporkan pemain dan pegawai skuad Hang Tuah terpaksa dikuarantin di sebuah hotel di Bandaraya Melaka selepas pulang dari Sabah untuk perlawanan Liga Super, Ahad lalu.

Selain dikuarantin, pemain dan pegawai juga telah menjalani ujian calitan bagi mengelakkan berlakunya jangkitan COVID-19 yang kini sedang menular hebat di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan kepada media memaklumkan bahawa perlawanan di antara Kedah dan Melaka United di Stadium Darul Aman serta Johor Darul Ta’zim dan Sabah di Stadium Sultan Ibrahim mungkin akan berlangsung seperti biasa mengikut tarikh yang ditetapkan.

Katanya, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada keputusan ujian calitan pemain di kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19.

“Setakat ini tiada masalah sebab kalau ikutkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu kuarantin adalah selama tiga hari sementara menunggu keputusan calitan. Jika negatif tiada masalah, itu yang saya faham.

“Begitu juga melibatkan perlawanan Melaka United menentang Sabah yang mana mereka (Melaka) perlu kuarantin selama tiga hari sementara menunggu keputusan. Perkara sama juga apabila pasukan Sabah akan ke Johor dalam perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Jumaat ini.

“Kalau ada kes positif (membabitkan pasukan Melaka dan Sabah) kita akan buat keputusan kemudian. Tapi kita berdoa harap tiada apa yang berlaku kerana setiap pasukan mengamalkan SOP yang ketat,” ujarnya.

Views:

51
Previous post TABIKA elit untuk M40 dalam pertimbangan
Next post ‘Kecewa, tapi kami akur..’